Monday, January 31, 2005

130 rumah nelayan di Langkawi hangus



PERKAMPUNGAN nelayan Bukit Malut di Langkawi terbakar
petang semalam. - Gambar Hamzah Osman


LANGKAWI: Kira-kira 200 keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam satu kebakaran besar membabitkan 130 rumah di perkampungan nelayan Bukit Malut, di sini, petang semalam, iaitu 35 hari selepas kawasan sama dilanda ombak tsunami.


Kebakaran kira-kira jam 3.45 petang itu memusnahkan sebahagian kampung yang mempunyai 750 rumah di pinggir pantai di pulau peranginan ini yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk. Turut musnah, kira-kira 20 bot nelayan yang diikat pada tiang rumah mereka di tepi laut.

Pegawai Penjaga Balai Bomba Langkawi, Rosdi Ismail, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 3.50 petang tetapi hanya berjaya mengawal kebakaran dua jam kemudian selepas api memusnahkan 130 rumahyang dibina terlalu rapat.

"Ketika pasukan bomba tiba, sebahagian besar rumah di situ sudah terbakar.

"Jarak antara rumah hanya antara satu hingga dua meter dan operasi memadam kebakaran disukarkan dengan tiupan angin yang agak kencang," katanya di tempat kejadian.

Rosdi berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang disifatkan terburuk pernah berlaku di pulau percutian itu.

Katanya, operasi mengawal kebakaran menghadapi kesulitan kerana tekanan air yang rendah selain jumlah pili bomba yang terhad menyebabkan Bomba dan Penyelamat terpaksa mengepam air laut.

“Punca kebakaran masih disiasat manakala jumlah kerugian belum ditaksirkan. Semua mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang termasuk peralatan sekolah anak masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, seramai 47 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba Kuah dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan. Operasi memadam kebakaran turut dibantu oleh penduduk kampung.

Sehingga malam tadi, semua mangsa ditempatkan sementara dalam khemah di Sekolah Kebangsaan Bayas.

NORAINI Mohamad, 30, bersama
dua anaknya, Mohd Hafizal,
tujuh bulan, dan Zikril
Naim,6, terselamat dalam
kejadian kebakaran perkampungan
Bukit Malut, Langkawi
petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Nawawi Ahmad, berkata satu mesyuarat akan diadakan untuk menentukan lokasi sesuai bagi menempatkan semua mangsa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Rasli Basir, bermesyuarat dengan beberapa wakil agensi kerajaan di Pejabat Daerah Langkawi jam 9 malam tadi untuk menentukan bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa.

Perkampungan nelayan Bukit Malut dibuka sejak lebih 10 tahun lalu yang dihuni kebanyakannya nelayan dengan sebahagian rumah dibina di atas air.

Pada 26 Disember lalu, kira-kira 300 penduduk di situ terpaksa dipindahkan kerana terbabit dengan bencana tsunami.

Bagaimanapun, semua mereka sudah kembali ke rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit malut, Ali Bakar, berkata sebahagian besar penduduk di situ bekerja sebagai nelayan sepenuh masa dan menetap di situ lebih 10 tahun lalu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home