Wednesday, January 26, 2005

29 korban banjir terburuk di Madinah

Excerpt from BH

RIYADH: Sekurang-kurangnya 29 orang maut dan 17 lagi cedera dalam kejadian banjir di Madinah akibat hujan lebat minggu ini, yang disifatkan kejadian terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Akhbar al-Madina yang memetik Gabenor wilayah, Putera Muqrin Abdul Aziz, semalam melaporkan, banjir itu turut menyebabkan kenderaan dibawa air, selain memusnahkan sebuah jambatan.

Hujan yang disifatkan media tempatan sebagai paling lebat di negara gurun itu sejak dua dekad lalu, melanda bahagian barat Arab Saudi, Sabtu lalu yang turut menjejaskan hari terakhir jemaah menyempurnakan ibadat haji di kota suci Makkah.

GAMBAR yang disiarkan
sebuah akhbar tempatan
menunjukkan sebuah kereta
tersadai di sebuah
ladang kurma dekat
Madinah, selepas kawasan
itu dilanda banjir.
– Gambar Agensi

“Beberapa kerosakan teruk jalan raya, bekalan tenaga dan komunikasi turut dilaporkan berlaku,” kata Putera Muqrin kepada akhbar itu, selepas melawat kawasan yang dilanda banjir.

Akhbar al-Madina turut menyiarkan gambar jambatan runtuh dan kereta yang dibawa arus deras ke ladang pokok kurma.

Sementara itu, perkhidmatan media Middle East Online memetik akhbar al-Watan melaporkan, korban banjir itu termasuk 13 sekeluarga yang bersesak dalam satu kenderaan ketika cuba menyeberangi kawasan lembah yang ditenggelami air.

Malangnya, kenderaan itu dibawa arus dan mayat mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian. Seorang penumpang kenderaan itu selamat, manakala empat yang lain masih hilang.

Akhbar berbahasa Inggeris, Arab News pula melaporkan, ramai penduduk Madinah terpaksa meninggalkan kediaman selepas rumah mereka ditenggelami air.

Sebuah empangan di luar kota suci kedua umat Islam itu turut runtuh, menyebabkan beberapa kampung terpisah dan anggota bomba menyelamatkan 43 mangsa yang terkandas.

Di Makkah, antara mangsa yang maut ialah dua jemaah haji dan 196 lain cedera selepas terjatuh ketika hujan lebat melanda bandar suci itu Sabtu lalu. Hujan juga menyebabkan sebahagian khemah jemaah di Mina dinaiki air dan kesesakan lalu lintas.

Dalam kejadian sebelum ini, hujan lebat di Makkah menyebabkan 12 orang maut.

Walaupun Arab Saudi adalah antara negara paling kering di dunia dengan muka bumi termasuk gurun Rub al-Khali yang luas, ia tidak terkecuali daripada hujan lebat yang sering melanda kawasan pergunungan di pantai barat. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home