Friday, January 14, 2005

60 penumpang ERL dari KL Sentral terkandas

Excerpt from Utusan

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kira-kira 60 penumpang Express Rail Link (ERL) dari Stesen Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terkandas dan menyebabkan dua orang terlepas penerbangan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Dr. Aminuddin Adnan berkata, sistem yang tergendala kerana gangguan elektrik selama dua jam bermula pada pukul 12.40 tengah hari itu turut melibatkan 40 penumpang dari destinasi yang berlawanan.

``Semua pengguna ERL yang terperangkap di dalam tren dilaporkan selamat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Katanya ERL turut menghantar tren penyelamat untuk menggerakkan tren itu ke stesen seterusnya sama ada di Bandar Tasik Selatan atau stesen Putrajaya.

Jelas Aminuddin, pihaknya menyediakan bas untuk penumpang yang terkandas di Putrajaya ke KL Sentral.

Sementara itu sistem pengangkutan Projek Usaha sama Transit Ringan Automatik (PUTRA) dan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) juga mengalami gangguan pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Pengurus Operasi STAR, Yacob Mohd. Salleh, pengguna kedua-dua sistem pada masa itu adalah ramai tetapi keadaan tetap terkawal.

Sebanyak 18 tren PUTRA dan 12 tren STAR terlibat dengan empat tren PUTRA berada di stesen terowong Masjid Jamek, Ampang Park, Dang Wangi dan sebuah lagi di antara Kampung Baru dan KLCC.

Tambah Yacob lagi, semua penumpang telah dikeluarkan dengan selamat dalam masa 15 minit dan tambang mereka telah dipulangkan.

``Walaupun bekalan elektrik sudah mula pulih pada pukul 3 petang namun perkhidmatan kami beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada pukul 5 petang,'' ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home