Tuesday, January 18, 2005

82,000 pemandu diburu -- Kes saman kenderaan perdagangan tumpuan awal Ops Warta IV

Excerpt from Utusan


Oleh: OPAT RATTANACHOT dan SITI AINIZA KAMSARI


SEORANG pegawai polis trafik bersama dua anggota melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Kuala Lumpur dalam OPS Warta IV yang bermula semalam.

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Polis akan memberi tumpuan khusus memburu kira-kira 82,000 pemandu kenderaan perdagangan yang mempunyai waran tangkap aktif dalam Ops Warta IV yang bermula hari ini.

Serentak dengan itu, dalam operasinya hari ini sebuah syarikat pengangkutan awam yang mempunyai 400 saman tertunggak menerima notis pemberitahuan waran saman.

Semua kesalahan tersebut dilakukan oleh para pemandu Syarikat Bas Ekspres Transnasional di seluruh negara dari tahun 2002 sehingga akhir tahun lalu.

Pegawai Trafik dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Bukit Aman, Cif Inspektor Bala Narianasamy bersama dua anggota polis trafik dari Balai Polis Trafik Jalan Bandar menyerahkan 20 daripada 400 notis tersebut kepada pihak pengurusan syarikat itu di ibu pejabatnya di sini.

Penyerahan notis itu adalah bagi kesalahan di sekitar ibu negara sahaja, manakala 380 lagi kesalahan yang dilakukan di beberapa negeri lain akan diserahkan kemudian.

Operasi memburu pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya itu akan berlangsung selama sembilan bulan tanpa mengira siang atau malam.

Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Gingkoi Seman Pancras berkata, pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori mewakili 10 peratus daripada 829,199 pemegang saman lalu lintas yang masih gagal menjelaskan saman mereka.

``Kita memberi fokus kepada waran tangkap yang dikeluarkan kepada pemandu-pemandu syarikat kenderaan perdagangan seperti bas, lori dan seumpamanya.

``Para pegawai kita akan pergi untuk mengenal pasti pemandu itu di syarikat mereka bekerja atau berkhidmat.

``Setakat ini, kita sudah kenal pasti 193 syarikat yang antaranya mempunyai pemandu dengan waran tangkap terbanyak,'' katanya pada sidang akhbar sempena pelaksanaan Ops Warta IV di Bukit Aman, di sini hari ini.

Ops Warta IV dimulakan dengan tujuan memburu - dari pintu ke pintu - 829,199 pesalah trafik yang kebanyakan mereka dikesan mempunyai waran tangkap aktif sejak 1999.

Polis mula melancarkan operasi memburu pesalah trafik yang enggan menjelaskan saman walaupun waran tangkap dikeluarkan sejak 6 Disember 2000 melalui Ops Warta I.

Operasi serupa yang dinamakan Ops Warta II pula dilancarkan pada 19 Mei 2002 dan Ops Warta III pada Mei tahun lalu.

Menurut Gingkoi, polis akan mengeluarkan notis 107A (pemberitahuan) kepada syarikat berkenaan untuk mengarahkan pemandu mereka tampil menyelesaikan waran tangkap dalam tempoh tujuh hari.

``Sekiranya ia tidak diendahkan, kita akan keluarkan sekali lagi saman atas nama setiausaha atau pengarah syarikat supaya memberikan sebab kegagalan mereka,'' katanya.

Tegas Gingkoi, polis akan keluarkan notis 257 meminta mahkamah untuk membicarakan mereka dan waran baru akan dikeluarkan jika mereka masih gagal hadir ke mahkamah.

Beliau bagaimanapun memberitahu, individu yang masih mempunyai saman tertunggak juga tidak terkecuali daripada diambil tindakan dalam Ops Warta IV kali ini.

``Mana-mana pemandu yang ada waran, kita mohon datang jumpa dengan pegawai trafik untuk bantuan menyelesaikan waran segera,'' katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menjelaskan saman trafik tertunggak di semua kaunter trafik setiap daerah bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam pada hari bekerja.

Bagi hari cuti kelepasan am pula, kaunter trafik akan dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu, Gingkoi berkata, tujuan utama operasi itu ialah untuk mendidik pengguna lalu lintas supaya menjelaskan saman tertunggak.

Beliau berkata, pihaknya tidak menggalakkan penggunaan gari untuk menangkap pesalah trafik dalam Ops Warta IV kali ini.

``Bagaimanapun tertakluk kepada budi bicara pegawai tangkapan, sekiranya didapati pesalah trafik itu ingkar atau melarikan diri maka gari terpaksa digunakan,'' katanya.

Tambah beliau, polis juga tidak akan menahan pesalah trafik berkenaan di dalam lokap tetapi sekadar meminta mereka menyelesaikan waran terbabit.

Ketika ditanya mengenai kekuatan anggota, Gingkoi berkata, lebih 3,500 pegawai dan anggota trafik seluruh kontinjen diarahkan menjayakan operasi itu di samping bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) jika perlu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home