Saturday, January 15, 2005

Amaran awal bencana melalui SMS

Excerpt from Utusan

Oleh: HELMI MOHD. FOAD


JAMALUDDIN JARJIS bersalaman dengan Senator Christopher Kit S. Bond sambil diperhatikan oleh Christopher Lafleur selepas mengadakan pertemuan di Seri Carcosa, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Sedikit masa lagi orang ramai akan mendapat amaran awal bencana seperti gempa bumi, banjir, ribut petir mahu pun tsunami melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasinya, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, semua rangkaian telekomunikasi perlu mengaktifkan sistem amaran secara automatik kepada pelanggannya apabila terdapat kemungkinan berlakunya bencana.

``Misalnya sekarang orang ramai mengetahui kedudukan bursa saham dengan melayari laman web menggunakan telefon bimbit.

``Jadi pada masa akan datang, saya fikir mengapa tidak orang ramai mendapat maklumat mengenai amaran bencana seperti tsunami atau cuaca menggunakan telefon bimbit,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Senator Christopher Kit S. Bond dari Missouri Amerika Syarikat (AS).

S. Bond berkunjung ke negara ini bagi melakukan siri pertemuan dengan para pemimpin kerajaan dan meninjau usaha bantuan tsunami di rantau ini.

Hadir sama ialah Duta AS ke Malaysia yang baru, Christopher Lafleur dan Ketua Pengarah Jabatan Kaji Cuaca, Chow Kok Kee.

Menurut Jamaludin, semua cadangan mengenai kaedah-kaedah baru itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negara.

Beliau menjelaskan, setakat ini sebuah syarikat perisian, Hawlett-Packard (M) Sdn. Bhd. telah mengemukakan cadangannya mengenai sistem yang boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat mengenai amaran bencana alam.

Katanya, kerajaan tidak mahu hanya kaedah komunikasi tradisional digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai kemungkinan berlakunya bencana alam termasuk gempa bumi dan tsunami.

``Biasanya kita memberitahu kepada pihak berkuasa seperti polis dan bomba yang mana ia adalah satu cara tradisional.

``Jadi kita perlu meneroka kaedah-kaedah baru bagi memastikan amaran tentang bencana dapat disebarkan dengan lebih cepat,'' katanya.

Dalam pada itu mengenai usaha Malaysia untuk menubuhkan Pusat Amaran Tsunami Nasional, beliau menyatakan kerajaan akan menggunakan khidmat pakar perunding sama yang telah membangunkan Pusat Amaran Tsunami AS di Hawaii.

Jelasnya, kerajaan akan meminta nasihat daripada Pentadbiran Nasional Lautan dan Atmosfera (NOAA) AS bagi mengenai tenaga pakar perunding yang perlu digunakan.

``Kita akan menggunakan pakar perunding yang sama memandangkan kita akan menghubungkan sistem amaran kita dengan Pusat Amaran Tsunami AS di Hawaii,'' katanya.

Ini katanya, bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah alat pelampung yang perlu dipasang di perairan negara ini untuk mengesan gempa bumi dan kemungkinan terjadinya tsunami.

``Sekurang-kurangnya kita perlu memasang dua alat pengesan itu di perairan yang berhadapan dengan Lautan Andaman serta di Sabah dan Sarawak yang terdedah kepada gempa bumi melibatkan plat di Filipina,'' katanya.

Sementara itu S. Bond berkata, pihaknya menyambut baik rancangan Malaysia untuk menubuhkan pusat amaran tsunami sendiri dan menghubungkannya dengan Pusat Amaran Tsunami AS di Hawaii.

``Cadangan tersebut adalah suatu yang menarik dan saya sendiri akan memberikan laporan apabila pulang kembali ke negara saya bagi menyokong usaha tersebut,'' katanya.

Selain itu beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia kerana memberikan kebenaran kepada pesawat tentera negara itu mendarat di sini bagi membantu misi kemanusiaan di Aceh.

``Ini membolehkan pasukan bantuan AS membawa bekalan perubatan ke sana dengan lebih mudah.

``Jadi kami berharap lebih banyak kerjasama dalam pelbagai bidang dapat dilakukan dengan Malaysia,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home