Monday, January 24, 2005

Ancaman `salji hitam' -- Penduduk Perlis bimbang pembakaran daun tebu jejas kesihatan

Excerpt from Utusan


Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR 23 Jan. - Apabila tiba musim menuai tebu, penduduk Perlis paling bimbang kerana mereka akan berdepan dengan ancaman `salji hitam' yang boleh mencemarkan ruang udara, makanan dan menghitamkan pakaian mereka.

Selain itu gejala tersebut mendedahkan kepada penyakit lelah.

Bagi penduduk Perlis khususnya di sekitar kawasan pembakaran daun tebu di ladang tebu Chuping, mereka cukup lali dengan masalah ini.

Sudah berbuih mulut penduduk Perlis membangkitkan ancaman `salji hitam' yang berupa kehadiran abu serta arang daun tebu hasil kegiatan pembakaran terbuka daun tebu itu. Namun, hasilnya tetap sama.

Pembakaran terus berjalan seperti biasa seolah-olah tidak ada sesiapa yang mempedulikan kegiatan itu.

Nasib penduduk Perlis terutama yang berhampiran kawasan pembakaran terbuka pula terus diancam bahaya.

Setiap kali tiba musim menuai tebu, setiap kali itulah mereka berdepan dengan ancaman `salji hitam'.

``Arang daun tebu itu mencemarkan pakaian dan makanan. Kain di jemuran juga hitam.

``Kami terpaksa basuh semula,'' kata seorang suri rumah, Haton Ismail, 47, di Abi dekat sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan penduduk sekitar kawasan itu juga tidak berani membuka pintu rumah apabila `salji hitam' mula kelihatan di udara. Ini kerana ia juga boleh memasuki ke dalam rumah dan mengotorkan, katanya.

Perlis memiliki lebih 8,000 hektar ladang tebu yang sebahagiannya dimiliki oleh PPB Group, sebuah syarikat perladangan terkemuka manakala sebahagian lagi milik Felda.

Proses membakar daun tebu pula adalah sebahagian daripada amalan dalam proses penuaian tebu sejak ladang itu diwujudkan kira-kira 30 tahun lalu.

Pembakaran ladang terbabit biasanya dilakukan pada setiap hujung tahun selepas proses penebangan tanaman tebu dijalankan oleh syarikat tersebut.

Isu mengenai ancaman `salji hitam' itu juga sudah lama dibangkitkan dalam pelbagai forum termasuk politik, namun keadaan masih tidak berubah.

Beberapa tahun lalu, ada beberapa cadangan dikemukakan bagi mengelakkan `salji hitam' turun ke bumi termasuk menghentikan amalan pembakaran daun tebu.

Cadangan lain pula melakukan pembakaran ketika cuaca lembab seperti pada waktu malam. Malangnya cadangan hanya tinggal cadangan. Tiada satupun yang dilaksanakan.

Sementara itu, tiga bahagian UMNO di Perlis menuntut syarikat ladang tebu terbesar yang beroperasi di Chuping membayar pampasan kepada kerajaan negeri jika gagal mengatasi masalah pembakaran terbuka yang menghasilkan `salji hitam' sejak 40 tahun lalu.

Ketiga-tiga bahagian UMNO terbabit iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar turut mengancam untuk menubuhkan sebuah tribunal bagi membolehkan rakyat mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit, Perlis Plantations Berhad (PPB) jika gagal mencari satu mekanisme untuk menyelesaikan pembakaran terbuka itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Senator Ismail Kassim berkata, setiap tahun, rakyat Perlis terpaksa menyedut udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka dari ladang milik syarikat berkenaan.

Berikutan pembakaran itu, tegas beliau, debu-debu hitam berterbangan sehingga mengotorkan rumah penduduk termasuk pakaian yang dijemur.

``Tidak kurang juga kita menerima laporan ada penduduk yang mendapat penyakit lelah akibat tersedut debu hitam itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program korban anjuran Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO negeri di Denai Larian di sini hari ini.

Beliau mengulas keresahan yang dihadapi oleh rakyat negeri ini berikutan pencemaran udara yang berpunca daripada pembakaran ladang tebu di Chuping setiap tahun.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini berkata, kegiatan pembakaran terbuka dari ladang tebu di Chuping mungkin menjadi punca kepada peningkatan kes penyakit lelah di kalangan penduduk di negeri ini.

Ismail seterusnya berkata, sejak beroperasi di negeri ini sekitar 1960-an, syarikat berkenaan tidak pernah mengambil usaha untuk mengatasi masalah pencemaran yang dihasilkan daripada pembakaran terbuka.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Hashim Suboh pula menegaskan, sejumlah pampasan perlu dibayar oleh syarikat itu kepada kerajaan negeri supaya ia dapat disalur semula untuk pembangunan negeri ini.

Selama ini, katanya, kerajaan negeri dan rakyat tidak menerima banyak faedah daripada syarikat gergasi itu sejak beroperasi lebih empat dekad di Perlis.

``Apa yang rakyat dapat ialah `salji hitam' yang mengotorkan rumah dan pakaian kita saban tahun,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Padang Besar, Mohd. Nor Aziz yang kecewa dengan tindakan syarikat berkenaan berkata, PPB tidak pernah mencari satu kaedah yang lebih selamat bagi menggantikan pembakaran terbuka yang diamalkan pada masa ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home