Monday, January 24, 2005

Angka kematian lepasi 227,000

Excerpt from Utusan


JAKARTA 23 Jan. - Angka kematian akibat malapetaka gempa bumi dan ombak besar tsunami di 11 negara Lautan Hindi meningkat melepasi 227,000 hari ini selepas 7,000 lagi kematian dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Indonesia.

Indonesia merupakan negara yang paling teruk dilanda malapetaka itu pada 26 Disember lalu, dengan 173,981 mangsa disahkan terkorban setakat ini, kata kementerian itu.

Angka kematian di Sri Lanka, negara kedua paling teruk terjejas akibat ombak besar tsunami ialah 30,920, menurut Pusat Untuk Operasi-Operasi Kebangsaan. Jumlah mangsa yang dilaporkan hilang berkurangan kepada 5,565 orang.

Jumlah kematian di Thailand meningkat kepada 5,373. Kira-kira 3,000 lagi dilaporkan hilang, dengan lebih separuh daripada mereka terdiri daripada warganegara asing.

Di India, angka kematian rasmi meningkat kepada 10,744, dengan 5,669 masih dilaporkan hilang dan dikhuatiri mati.

Myanmar berkata, 59 mangsa terkorban akibat malapetaka itu berbanding dengan kira-kira 90 kematian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Maldives, sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh dan kira-kira 26 lagi dilaporkan hilang.

Malaysia melaporkan 68 kematian, kebanyakannya di negeri Pulau Pinang, menurut perangkaan polis manakala Bangladesh melaporkan dua kematian.

Kemalangan jiwa juga berlaku di pantai timur Afrika, di mana 298 orang diisytiharkan mati di Somalia, 10 di Tanzania dan seorang di Kenya.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata gempa bumi yang menggegarkan pulau Sumatera di Indonesia bulan lalu berukuran 9.0 pada skala Richter, iaitu yang terkuat di seluruh dunia dalam tempoh 40 tahun. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home