Saturday, January 22, 2005

AS akan serang Iran -- Bush bayangkan kemungkinan dalam ucapan sulung Presiden

Excerpt from Utusan


WASHINGTON 21 Jan. - Presiden George W. Bush yang mempelopori serangan ke atas Iraq sehingga berjaya `menakluki' negara itu, hari ini tidak menolak kemungkinan akan berperang dengan Iran pula.

Beliau dengan bongkak menuduh negara Islam itu sebagai pencetus kepada masalah utama dunia.

Semasa melancarkan serangan ke atas Iraq dulu, Bush mendakwa negara pimpinan Saddam Hussein itu mempunyai senjata pemusnah besar-besaran yang kemudian ternyata tidak wujud.

Dalam reaksi segera atas ancaman itu, Presiden Iran, Mohammad Khatami menegaskan bahawa negara itu bersedia untuk mempertahankan diri daripada serangan Amerika Syarikat (AS).

Keangkuhan Bush itu, ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Aidiladha, dibuat dalam ucapan sulungnya sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Presiden AS bagi penggal kedua. Beliau memenangi pilihan raya Presiden negara itu baru-baru ini menewaskan John Kerry dengan majoriti 52 peratus.

Nada yang sama juga disuarakan oleh Naib Presidennya, Dick Cheney beberapa jam sebelum majlis angkat sumpahnya.

Beliau berkata: ``Anda perhatikan negara-negara yang mendatangkan masalah dan Iran negara yang menduduki senarai teratas.''

Pandangan itu turut dikongsi oleh Senator Demokrat dari Delaware, Joseph Biden.

``Tidak ada apa yang kita boleh lakukan untuk memujuk Iran agar tidak membangunkan senjata nuklear,'' kata Biden semasa sidang khas Jawatankuasa Hubungan Luar Senat mengenai pelantikan Setiausaha Negara, Condoleezza Rice.

AS mendakwa sedang berusaha mencari penyelesaian secara aman berhubung isu nuklear di Iran, bagaimanapun ia menjadi sukar apabila kedua-dua negara saling curiga mencurigai.

Bagaimanapun Cheney dan Rice berpandangan usaha diplomasi melalui agensi pemantauan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu diteruskan.

Kedua-duanya berkata, isu nuklear Iran akan dirujukkan kepada Majlis Keselamatan PBB dan berharap usaha yang dilakukan oleh Jerman, Perancis dan Turki mendatangkan hasil.

Bagaimanapun pihak AS masih meragui kejujuran Iran, sementara Teheran menyatakan program nuklearnya bertujuan menghasilkan tenaga.

Rice mendakwa perbezaan pandangan di antara negaranya dengan Iran melampaui isu program nuklear.

``Amat sukar untuk mencari penyelesaian dengan kerajaan yang mahukan Israel patut dimasukkan sekali dalam rundingan,'' katanya kepada Senat.

``Susah mendapatkan penyelesaian dengan negara yang menyokong Hizbullah dan pertubuhan pengganas yang sering mengganggu usaha damai di Asia Barat yang kita kehendaki.''

Malah Rice menyenaraikan Iran sebagai enam pusat pengganas yang didakwanya wujud di setiap benua.

Di sebalik ancaman Washington itu, Khatami mengadakan lawatan ke negara-negara Afrika bermula semalam.

``Kami sudah bersedia (untuk berperang),'' kata Khatami. - Agensi


0 Comments:

Post a Comment

<< Home