Wednesday, January 19, 2005

Budi bahasa masyarakat perlu diperkukuhkan

Excerpt from Utusan


BERADAB SOPAN... Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur bersalam dengan guru mereka sebelum pulang semalam. Sifat terpuji ini selaras dengan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED.

KOTA BHARU 18 Jan. - Nilai budi bahasa masyarakat negara ini tidak terlalu pincang tetapi perlu diperkukuhkan sebelum sampai ke tahap demikian, kata tokoh sejarah negeri Kelantan, Datuk Salleh Mohd Akib.

Justeru katanya, semua pihak perlu memberikan perhatian berterusan bermula dari rumah, sekolah dan luar persekolahan mendidik anak-anak sejak kecil dengan amalan budi bahasa.

``Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengajar anak-anak cara-cara berbudi bahasa sementara di sekolah peranan guru-guru dan di luar sekolah peranan masyarakat,'' katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan percaya budi bahasa di kalangan masyarakat negara ini akan terus mekar apabila masing-masing dapat memainkan peranan.

Beliau turut mencadangkan agar mata pelajaran sivik yang suatu ketika dulu diajar di sekolah-sekolah rendah di negara ini diadakan semula kerana ia penting dalam menerapkan amalan budi bahasa di kelantan murid-murid.

``Pada pengamatan saya budi bahasa di kalangan masyarakat terutama generasi baru semakin ketara terhakis selepas tahun 90-an,'' kata bekas guru, Razali Mohamad, 65.

Kata beliau, yang sedihnya ada di antara mereka sudah tidak tahu untuk menghormati orang tua, guru malah ibu bapa sendiri yang memperlihatkan seolah-oleh sudah hilang nilai murni pada mereka.

``Keadaan sedemikian berbeza dengan masyarakat tahun 70-an dan 80-an yang kuat dengan budi bahasa sama ada pada percakapan dan perbuatan,''katanya.

Seorang lagi bekas guru, Hussin Salleh, 63, berkata, tahap nilai-nilai murni di kalangan generasi sekarang adalah membimbangkan dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak menanganinya.

Katanya, ada di kalangan generasi sekarang bukan sahaja tidak tahu menghormati orang tua tetapi tidak merasa malu melakukan perbuatan yang tidak sopan.

``Budi bahasa dan nilai murni ini bukan sahaja pada percakapan tetapi termasuk soal pakaian yang tidak mendedahkan aurat,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home