Wednesday, January 26, 2005

Cuaca panas luar biasa dijangka hingga Mac

Excerpt from Utusan


Oleh: ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Cuaca panas di Malaysia sekarang agak luar biasa kerana paras suhunya lebih tinggi berbanding suhu di negara-negara beriklim panas seperti Kenya, India, Gambia dan Ghana.

Keadaan cuaca itu dengan suhu maksimum harian mencecah 36 darjah Celsius di beberapa bahagian di negara ini, dijangka berlarutan dan tanpa hujan hingga Mac.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca memberitahu Utusan Malaysia hari ini, imej satelit yang direkodkan sejak tiga hari lalu menunjukkan tiada tompokan awan yang boleh memberi sebarang petunjuk akan berlaku hujan dalam tempoh terdekat di negeri-negeri terbabit.

``Kalau ada awan pun, hanya sedikit dan ia tidak memungkinkan berlakunya hujan sehingga Mac,'' katanya di sini.

Menurut jurucakap itu, fenomena itu membabitkan beberapa kawasan di sekitar ibu negara, Selangor dan di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

Sehubungan itu, jurucakap berkenaan menegaskan, perkembangan terbaru itu akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terutamanya di kawasan-kawasan hutan di negeri-negeri terlibat.

``Bagaimanapun, ia mungkin tidak berlaku secara semula jadi, jadi pembakaran secara terbuka atau sikap membuang puntung rokok di kawasan hutan perlu dielakkan,'' katanya.

Beliau bagaimanapun menolak sebarang teori yang mengaitkan kemungkinan wujud hubungan fenomena itu dengan kejadian ombak tsunami yang melanda beberapa negara Asia pada 26 Disember lalu.

Sebaliknya, kata jurucakap itu, keadaan suhu panas itu mungkin disebabkan negara sedang berada di penghujung musim monsun timur laut yang biasanya menyebabkan berlakunya penolakan awan dan tidak memungkinkan kejadian hujan.

``Ia menyebabkan angin bertiup sangat perlahan iaitu kurang daripada 10 kilometer sejam dan sentiasa bergerak pada arah yang berubah-ubah,'' katanya.

Laman web www.worldweather.org menunjukkan tahap kepanasan yang agak luar biasa itu lebih tinggi berbanding suhu semasa di beberapa kawasan di negara iklim panas.

Mengikut laman web itu, suhu di Malaysia juga lebih tinggi berbanding Bangkok, Thailand (32); Yangon, Myanmar (34) dan Phnom Penh, Kemboja (33).

Suhu semasa bagi beberapa kawasan panas di India seperti Thiruvananthapuram, Hyderabad dan Chennai hanya mencatatkan purata suhu harian antara 33 dan 34 darjah Celsius.

Kecuali Lodwar yang mencatatkan suhu harian 37 darjah Celsius, purata suhu di Kisumu dan Mombasa (Kenya) 34 darjah Celsius manakala Kumassi dan Accra (Ghana) antara 33 dan 34 darjah Celsius.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home