Tuesday, January 25, 2005

Demam campak: 35 masih dirawat di Hospital Bintulu

Excerpt from Utusan


KUCHING 24 Jan. - Sebanyak 35 orang Penan masih dirawat di Hospital Bintulu kerana jangkitan demam campak yang sebelum ini menyebabkan kematian 14 orang dari kaum itu di Sungai Urun, Belaga.

Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Andrew Kiyu berkata, kesemua 35 orang yang menghidap penyakit tersebut kini berada dalam keadaan baik dan keadaan mereka tidak membimbangkan.

Tambahnya, 14 orang Penan iaitu 13 kanak-kanak dan seorang dewasa mati di rumah mereka selepas dijangkiti demam itu kerana tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut Kiyu, kematian pertama dilaporkan berlaku pada 27 Disember lepas dan kematian terakhir ialah pada 11 Januari lalu.

``Mereka meninggal dunia akibat kesan daripada jangkitan demam campak seperti mengalami pneumonia,'' katanya pada sidang akhbar di sini bersama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.

Selepas kematian yang banyak itu, katanya, barulah mereka yang dijangkiti demam itu dirujuk ke hospital.

Menurutnya, kematian akibat kesan sampingan jangkitan demam campak bukan perkara biasa.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana masyarakat Penan tidak pernah terdedah dengan penyakit tersebut, mereka didapati tidak mempunyai daya ketahanan diri seperti orang lain.

``Oleh itu kita telah menyuntik 700 orang Penan dengan vaksin anticampak dan orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan,'' katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan masyarakat Penan terbabit dikuarantin kerana adalah sukar untuk berbuat demikian kerana masyarakat Orang Asli Sarawak itu mengamalkan hidup cara berpindah-randah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home