Sunday, January 23, 2005

Filem anak Ipoh menang anugerah di Bangkok

Excerpt from Utusan

Daripada khadijah ibrahim


BANGKOK 22 Jan. - Filem The Beautiful Washing Machine arahan anak muda dari Ipoh, James Lee memenangi anugerah Filem ASEAN Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Bangkok menewaskan 14 filem lain termasuk Puteri Gunung Ledang (PGL).

Filem kecil yang dibuat dengan belanja lebih kurang RM50,000 itu turut mengenepikan dua filem Filipina, The Crying Ladies yang dicalonkan oleh negara itu untuk ke Anugerah Akademi dan Woman of the Breakwater yang terpilih menyertai festival filem terunggul dunia di Cannes tahun lalu.

Selain dua filem dari Malaysia, kategori yang mempertaruhkan hanya satu anugerah itu turut disaingi oleh filem-filem dari Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Myanmar.

Anugerah yang disampaikan malam tadi pada kemuncak festival selama 10 hari yang dibuka pada 13 Januari lalu diterima oleh penerbitnya, Lorna Tee.

Hadiah berbentuk trofi itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suwat Liptanlop pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit di sini.

Lorna berkata, kemenangan itu membuktikan penerbit filem kecil mampu membawa industri filem tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

``Kami amat berharap kejayaan ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih luas dengan semua pihak untuk membantu pengarah-pengarah muda menerbit dan memasarkan filem mereka,'' katanya ketika ditemui selepas majlis.

Sementara itu, James yang dihubungi di Kuala Lumpur menyifatkan kemenangan itu seperti suatu mimpi.

``Saya tidak mahu percaya sehinggalah saya melihat trofi itu nanti. Kejayaan ini terlalu pantas buat saya,'' katanya yang mula membuat filem empat tahun lalu.

Pada tahun lepas, James turut bertanding melalui filem Room To Let, namun tidak meraih sebarang kejayaan. BWM adalah filem cerekanya yang keempat.

James, 31, adalah salah seorang penggerak gelombang baru perfileman tempatan yang diwakili oleh anak-anak muda yang berkarya membuat filem kecil dan murah menggunakan video digital.

Kemenangan di Bangkok itu adalah kejayaan terbesar yang pernah dicapai oleh James setakat ini.

Anugerah itu juga sangat bermakna kepada seseorang pembikin filem kerana penilaiannya dibuat oleh barisan juri yang terdiri daripada ahli-ahli Persekutuan Pengkritik Filem Antarabangsa (FIPRESCI).

Anugerah yang diperkenalkan tahun lalu itu sebelum ini dimenangi oleh filem Thailand, Last Life in the Universe.

Sementara itu, walaupun tewas penerbit PGL, Tiara Jacquelina yang hadir bersama pengarahnya, Saw Teong Hin tetap berbangga dengan kemenangan BWM yang mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

``Apa yang lebih penting (pada majlis itu) orang mendengar pengumuman ``filem dari Malaysia'' dan mula mengiktiraf kekuatan baru sinema dari Asia ini.

``Saya begitu berbangga malam ini,'' katanya melalui pesanan ringkas kepada Mingguan Malaysia.

The Beautiful Washing Machine yang akan menyertai Festival Filem Antarabangsa Rotterdam di Belanda mulai Rabu ini dijadual akan ditayangkan di pawagam April ini. Ia juga akan diedarkan di Korea Selatan tahun ini.

Sementara itu, filem Sepanyol, The Sea Inside arahan Alejandro Amenabar yang baru-baru ini menang Anugerah Golden Globe dipilih sebagai filem terbaik antarabangsa. Bintang utamanya, Javier Bardem pula dinamakan sebagai Aktor Terbaik.

Anugerah Aktres Terbaik dikongsi bersama oleh Annette Benning melalui filem Being Julia dan Ana Geislerova dari Republik Czech Zelary .

Kategori Pengarah Terbaik juga mengangkat dua pemenang iaitu Park Chan-wook dari Korea Selatan melalui filem Old Boy dan Christophe Barra Tier (Perancis, The Chorus).

Dokumentari yang mengupas kehidupan kawasan pelacuran di Kolkata, India, Born Into Brothels pula menang anugerah Dokumentari Terbaik. Pengarah Hari Om, Bharatbala dari India pula menang anugerah Pengarah Baru Terbaik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home