Tuesday, January 25, 2005

Gempa bumi di Sulawesi seorang mati empat parah

Excerpt from Utusan


JAKARTA 24 Jan. - Seorang terbunuh dan empat yang lain cedera parah apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan beberapa bahagian Pulau Sulawesi, Indonesia hari ini.

Gegaran berukuran 6.2 pada skala Richter itu menyebabkan kira-kira 30 buah rumah dan kedai rosak dan beribu-ribu penduduk yang cemas melarikan diri kerana khuatir ombak tsunami akan melanda.

Seorang lelaki berusia 75 tahun terbunuh apabila rumahnya runtuh di Pekan Palu, ibu kota wilayah Sulawesi Tengah, lapor Antara.

Pusat gempa bumi dikesan terletak di bahagian tengah Sulawesi, kira-kira 20 kilometer ke barat daya Palu, kata seorang ahli seismologi, Suharjono di Jakarta.

Kejadian berlaku pada pukul 3.10 pagi (4.10 pagi waktu Malaysia).

Gempa bumi itu diikuti dengan sekurang-kurangnya 24 gegaran susulan berukuran antara tiga dan empat pada skala Richter.

``Gegaran sangat kuat. Saya rasa bumi dan katil bergegar. Saya lari keluar rumah. Saya lihat penduduk dalam keadaan cemas,'' kata seorang pelajar di Palu, Huwal Hayun, 19.

Kira-kira 30 rumah kayu dan kedai di Palu yang berpenduduk kira-kira 270,000 orang rosak, kata anggota polis, Sarjan Fandi Tuna.

Beribu-ribu penduduk lari ke kawasan manakala pesakit di hospital besar Undata di bandar itu bertindak meninggalkan bangunan, kata Dr. Riri Lamadjido.

``Mereka menjerit air!... air! Ramai takut ombak besar akan menyusul selepas menonton banyak laporan berita mengenai tsunami,'' kata beliau.

Palu terletak 1,600 kilometer ke timur laut Jakarta.

Gempa bumi hari ini berlaku beribu-ribu kilometer dari pulau Sumatera yang paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember lalu. - AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home