Tuesday, January 18, 2005

Juara AJL19 - Industri perlukan kelainan

Excerpt From Utusan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM dan WANDA IDRIS


KUMPULAN SPIDER.

SEKALIPUN ramai yang kecewa apabila lagu Pulangkan kecundang kepada Relaku Pujuk untuk muncul juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu Ke-19 (AJL19), namun pemilihan lagu terbaik dinilai berdasarkan banyak elemen. Antara elemen yang dikatakan mampu menarik perhatian juri selain populariti ialah trend muzik yang dipertandingkan.

Lagu-lagu yang dianggap `melanggar' trend muzik masa kini dianggap mempunyai keistimewaan dan mampu menarik perhatian juri.

Lantaran itu sebenarnya bukanlah satu kejutan besar apabila lagu Pulangkan yang menjadi kesukaan ramai akhirnya terpaksa akur dengan keputusan juri yang memilih Relaku Pujuk sebagai juara AJL19 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Meskipun Relaku Pujuk dendangan Spider dianggap sebagai lagu yang tidak dijangka menang berbanding Pulangkan, namun kehebatan dan kekuatan lagu itu tidak dapat disangkalkan lagi.

Lagu ciptaan Tam dan lirik oleh Keon itu ternyata mempunyai estetika tersendiri membuatkannya turut dipilih sebagai juara kategori Pop Rock.

Kemenangan itu membolehkan Spider membawa pulang wang keseluruhan berjumlah RM37,000 iaitu RM25,000 daripadanya adalah untuk juara keseluruhan.

Juri-juri AJL19 kali ini terdiri daripada Lukhman S., Ooi Eow Jin, Amran Omar, Aubrey Suwito, Sheila Majid, Shuhaimi Jais, Lim Swee Tin, Datuk Yusni Hamid dan Farihin Abdul Fatah yang bertindak sebagai ketua juri.

Menurut Tam, kemenangan Relaku Pujuk merupakan rezeki untuknya dan rakan-rakan Spider yang lain.

``Saya tidak boleh menafikan kehebatan lagu Pulangkan, apa lagi ia menjadi lagu kesukaan ramai. Tapi kemenangan Relaku Pujuk adalah rezeki Spider,'' kata Tam pada sidang akhbar selepas pertandingan.

Menurut Tam, lagu yang dimenangi pada malam itu merupakan koleksi lagu yang telah diciptanya sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu Ajai yang dikatakan mampu menang besar pada malam itu atas tiket Pulangkan, tidak terkejut dengan keputusan tersebut.

Bagi Ajai, industri perlukan kelainan dan kategori pop rock secara dasarnya mempunyai banyak ruang untuk diterokai berbanding irama balada.

Malah kata Ajai, untuk menilai sebuah lagu yang baik, bukan sahaja tertumpu pada vokal dan melodi tapi penekanan susunan muzik yang mapan akan melengkapkan pakej sebuah lagu berkualiti.

Kelainan

``Generasi baru inginkan kelainan dan lagu Relaku Pujuk menepati cita rasa itu. Ia menampilkan kelainan dengan melodi, pasti menjadi siulan ramai. Malah saya sendiri menyenangi lagu tersebut,'' katanya.

Meskipun tewas, namun Ajai tidak pulang dengan tangan kosong kerana lagu Pulangkan dipilih sebagai pemenang kategori Balada.

Misha yang menjadi harapan untuk menjulang sekali lagi juara seperti yang dilakukannya tahun lalu menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta ciptaan Adnan Abu Hassan, ternyata tidak kecewa dengan keputusan juri.

Sebagai penyanyi, dia telah berjaya mendendangkan lagu ciptaan Ajai yang liriknya ditulis oleh Shuhaimi Baba dan Habsah Hassan itu dengan satu gaya persembahan yang mantap.

Malah suara bisikannya sewaktu mendendangkan lagu tersebut bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh tetapi turut membuatkan bulu roma sebahagian penonton meremang. Ditambah pula dengan kehadiran `pontianak' di pentas.

Sekalipun Pulangkan gagal muncul juara keseluruhan, namun Misha tetap berpuas hati kerana dia telah memberikan persembahan yang terbaik.

Justeru itu kemenangannya menggondol Vokal Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut tidak perlu dipertikaikan.

``Biarpun pernah menang kategori yang sama tetapi malam ini saya tetap menjadi orang baru semasa di pentas. Apa yang saya fikir adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik.

``Apabila ramai yang bersorak ia menandakan persembahan saya memberi kesan kepada penonton,''katanya.

Sementara Afdlin Shauki yang pertama kali menyertai AJL sebagai komposer menerusi lagu Erti Hidup yang memenangi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, menganggap kejayaannya itu sebagai platform untuk dia terus menghasilkan lagu irama tersebut.

Bagi Noraniza Idris yang diiringi 22 penari Kumpulan Kesenian Negeri Pahang dan Taman Mini Melaka, persembahan gerak tari Jawa membawa tuah kepadanya apabila berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Kemenangannya menerusi lagu ciptaannya, Hatinya Tak Tahan, merupakan kemenangan kali ke empat sejak menyertai pertandingan tersebut.

Biarpun ramai yang menganggap ada kalangan artis yang mengikut jejak langkahnya membawa segerombolan penari di pentas, namun bagi Noraniza, ia tidak merasa tercabar. Malah dia bangga apabila mereka turut menggunakan idea sepertinya.

APA KATA ARTIS

DAYANG NURFAIZAH

``Kemenangan lagu ini menebus kekecewaan lalu, ia juga merupakan permulaan yang baik bagi karier Dayang untuk tahun ini. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Dayang untuk membawakan lagu Erti Hidup.

``Dayang memang teruja dengan lagu ciptaan Afdlin kerana ia lain daripada konsep muzik yang pernah Dayang rakam sebelum ini,'' katanya yang mengenakan pakaian Devdas ala Bollywood yang direka oleh Caaz, Bangsar.

Pakaian tersebut dibawa khas dari Pakistan khusus untuk persembahan pada malam tersebut. Ia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan termasuk menjahit manik-maniknya.

ANUAR ZAIN

``Saya memang sengaja tidak menampilkan penari latar kerana ingin tumpukan pada persembahan vokal,'' katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

SYURA

``Saya sudah buat yang terbaik cuma nasib tidak menyebelahi saya. Tetapi saya tidak kecewa kerana saya masih muda dan mempunyai banyak masa untuk menyertai pertandingan seperti ini,'' katanya yang membawa 22 penari daripada Badan Kesenian Negeri Kedah.

RUFFEDGE

``Bagi kami menyertai AJL19 merupakan satu kemenangan kerana lagu Tipah Tertipu masih terlalu baru berbanding lagu lain yang dipertandingkan. Walaupun tidak menang, kami tetap rasa bangga kerana telah memberikan persembahan terbaik,'' kata Amer mewakili rakan-rakan lain

ELLA

``Ella memang sengaja tampilkan persembahan simple kerana yang dipertandingkan adalah lagu. Apa yang perlu dibuat hanyalah menyampaikan lagu Simbosis secara terbaik,'' kata Ella yang mengenakan pakaian Guess dan La Senza.

SHARIFAH ZARINA

``Saya tidak terkilan kerana ini adalah penyertaan saya yang pertama. Saya mahu penonton terhibur dengan persembahan sebab itulah lagu Syair Pesona digubah semula dalam tiga versi,'' katanya yang mengenakan baju rekaan Najibz Apparel.

ERRA FAZIRA

``Apabila terpilih ke peringkat akhir, apa yang Erra mahu hanyalah memberikan persembahan terbaik. Ini kerana bagi kategori Pop Rock, Relaku Pujuk memang mempunyai peluang yang besar untuk menang. Manakala untuk persembahan terbaik seperti selalu saingannya adalah daripada Noraniza Idris,'' katanya yang memilih rentak Latin dan Salsa untuk persembahannya bersama 17 penari.

Pakaian untuk persembahan pada malam itu adalah idea Erra yang ditempah khas daripada Michael Ong.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home