Friday, January 28, 2005

Kerjasama sekolah UK -Malaysia

Excerpt : Utusan

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

BANGI 27 Jan. - Kementerian Pelajaran sedang mengenal pasti beberapa sekolah dari kalangan 88 sekolah bestari di negara ini untuk dipilih menjalankan kerjasama dengan sekolah atau institusi pengajian terkenal di United Kingdom.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama itu merangkumi perkongsian isu alam sekitar, ko-kurikulum, sukan, latihan guru, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan bahasa.

Beliau yang baru kembali dari lawatan ke United Kingdom telah mengenal pasti beberapa sekolah dan kolej di sana yang boleh menjalankan kerjasama dengan sekolah-sekolah bestari Malaysia.

``Ada juga sebuah sekolah di Lancaster yang pertama berusia 100 tahun dan mempunyai peralatan ICT lengkap dan dianggap terbaik di sana, sedang kita nilai bagi kerjasama ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Program itu bertujuan membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, ko-kurikulum dan penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsepnya.

Menurut Hishammuddin, kerjasama dengan United Kingdom ini bertujuan membawa mutu dan kegiatan pendidikan negara ke peringkat antarabangsa yang sekaligus meningkatkan kemampuan bersaing di kalangan guru dan pelajar.

``Dari segi kerjasama bahasa misalnya, saya percaya kita dapat belajar mengenai bagaimana untuk menguasai bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris sambil tidak lupa untuk mempertahankan bahasa kebangsaan.

``Pengalaman pakar di United Kingdom bersama kajian yang mereka jalankan dalam soal bahasa ini di negara-negara tertentu, mungkin dapat dikongsi bersama negara ini,'' jelas beliau.

Hishammuddin berkata, kementerian bagaimanapun tidak mahu terlalu bertumpu ke United Kingdom semata-mata kerana turut melihat potensi kerjasama dengan beberapa negara lain Eropah seperti Perancis.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home