Wednesday, January 19, 2005

Kes denggi dijangka meningkat


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menjangka kes denggi akan meningkat secara mendadak, terutama di sekitar Lembah Klang dan Selangor dalam tempoh seminggu dua ini.


Antara kawasan yang dikenal pasti mengalami peningkatan kes denggi ialah Gombak, Kepong, Setapak, Sentul, sekitar Loke Yew dan Pandan.

Berikutan itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menambah wad bagi menempatkan pesakit denggi, termasuk menggunakan wad lain seperti orthopedik serta telinga, hidung dan tekak (ENT).

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat pengurusan HKL, semalam, berkata HKL juga akan mendapatkan khidmat doktor dan jururawat hospital berdekatan jika jumlah kes meningkat dalam masa terdekat.

Ketika ini, HKL mempunyai 20 doktor pakar am, 40 pegawai perubatan, 27 pegawai perubatan dalaman dan 220 jururawat.

Dr Chua berkata, hospital dijangka menerima ramai pesakit dalam tempoh berkenaan kerana orang ramai semakin bimbang berikutan peningkatan kes denggi.

“Orang ramai biasanya panik dan apabila demam sedikit dan jiran dijangkiti denggi, mereka akan menganggap mereka turut dijangkiti penyakit sama.

“Biasanya doktor juga lebih berhati-hati hingga terlebih mendiagnosis, terutama jika pesakit yang mendapatkan rawatan kerana demam beberapa hari itu dari kawasan yang ada peningkatan kes denggi. Oleh itu, doktor akan menasihatkan pesakit supaya masuk wad untuk pemantauan.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku peningkatan mendadak sekurang-kurangnya sehingga dua atau tiga minggu lagi kerana reaksi panik masyarakat dan sikap terlalu berhati-hati pegawai perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Chua berkata, situasi itu akan berubah apabila masyarakat lebih yakin dan tahap kesedaran mengenai wabak itu lebih tinggi.

Katanya, peningkatan kes denggi tidak bermakna kawalan dan penguat kuasa tidak berkesan kerana selain kementeriannya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mempergiatkan usaha untuk mengawal keadaan.

Bagaimanapun, beliau kurang berpuas hati dengan sikap dingin masyarakat terhadap usaha untuk mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk.

“Masyarakat lebih mengharapkan agensi kerajaan untuk melakukan kerja pembersihan, walaupun kementerian dan PBT sukar melakukannya kerana kawasan pembiakan nyamuk yang utama adalah di dalam dan halaman rumah, bukannya di longkang sekitar kawasan perumahan,” katanya.

Katanya, dalam minggu pertama wabak denggi, 158 perintah notis dikeluarkan dan 253 premis dikompaun kerana dikesan menyebabkan pembiakan nyamuk.

Mengenai situasi di HKL, Dr Chua berkata, hospital berkenaan kini menempatkan 150 pesakit denggi, berbanding 30 kes sebelum ini.

Bagaimanapun, HKL memberi jaminan mampu merawat sehingga 80 kes denggi dengan menambah wad.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Ramlee Rahmat, berkata pemerhatian seminggu lalu sejak 9 Januari menunjukkan kes demam denggi di seluruh negara terus meningkat dengan Selangor mencatat kes paling tinggi.

“Dalam tempoh itu, Selangor mencatat 654 kes demam denggi iaitu meningkat 30.5 peratus berbanding 501 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya," katanya sambil menambah jumlah kes jangkitan demam denggi di Pulau Pinang juga meningkat kepada 73 kes dalam tempoh sama, berbanding 70 kes sebelum ini.

Beliau berkata, Majlis Daerah Gombak (MDG) terus mencatat jumlah kes tertinggi di peringkat daerah dengan 203 kes yang direkod dalam tempoh tujuh hari lalu berbanding 134 kes sebelum ini.

“Kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga menunjukkan peningkatan daripada 87 kes pada minggu pertama bulan ini kepada 125 kes sejak seminggu lalu,” katanya.

Sementara itu, statistik dari 36 PBT yang diterima kementerian sehingga tengah hari semalam menunjukkan 1,009 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara.

Bagaimanapun, data itu terhad kepada 36 PBT dengan beberapa negeri masih belum menghantar laporan penuh kepada kementerian itu.

Di MELAKA, pemandu lori ladang kelapa sawit Estate Lesung Batu, Alor Gajah dekat sini menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat denggi berdarah di negeri itu tahun ini.

Kamarudin Karim, 34, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM) jam 4.10 pagi 14 Januari lalu dipercayai mengalami sindrom kejutan denggi. Mangsa meninggalkan seorang isteri serta tiga anak.

Isteri mangsa, Zamrina Yahaya, 26, ketika dihubungi berkata tiga hari sebelum itu suaminya mengadu tidak sihat kerana mengalami demam tidak menentu.

Katanya, oleh kerana demam tidak berkurangan, suaminya pergi ke sebuah klinik swasta di Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas menerima rawatan di klinik terbabit, suami saya segera dirujuk ke Hospital Alor Gajah (HAG) sebelum dipindahkan ke HM kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya.

Sepanjang minggu pertama sehingga 8 Januari lalu, sebanyak lima kes denggi dilaporkan di Melaka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home