Sunday, January 16, 2005

Kutipan lebih RM36 Juta

Excerpt from Metro

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM250,000 lagi dikumpul melalui Tabung Mangsa Tsunami anjuran NST-BH-TV3-8TV semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan tabung itu hampir mencecah RM36.7 juta.

Terbaru, Sharp Electronics (M) Sdn Bhd menyumbangkan RM150,000 yang diserahkan pengerusinya, Datuk Masatoshi Fujiki, kepada Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Syed Faisal Albar.

Turut menderma ialah kakitangan American Express Malaysia sebanyak RM16,041 yang disampaikan Pengurus Pemasarannya, Danny Tang.

Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) pula menyumbang RM10, 000 manakala Politeknik Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam menderma RM3,000.

Di KAJANG, banduan dari seluruh penjara di Malaysia turut menghulurkan bantuan RM18, 091.10, semalam.

Turut menyampaikan sumbangan kakitangan Penjara Kajang sendiri sebanyak RM11,243.60, Persatuan Isteri Dan Anak Pegawai Penjara Malaysia (Persiap) RM1,000 dan dari syarikat usaha sama penjara (RM1,000).

Di KUCHING, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (Ouna) semalam menyumbang RM2,039 yang disampaikan presidennya, Abu Bakar Abdullah, kepada wakil TV3, Sheliza Basri.

Turut menyumbang ialah Jawatankuasa Kebajikan Pekerja-Pekerja Toko Electronic (Sarawak) Sdn Bhd sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kebajikannya, Nasaruddin Kamarulzaman.

Di MUAR, Kawalan Rukun Tetangga (KRT) Muar mengumpul RM6,354.40 menerusi kutipan membabitkan 70 sektor di sekitar daerah ini sejak beberapa hari lalu.

Cek derma itu disampaikan Bendahari Jawatankuasa Penyelaras KRT Muar, Tee Chin Hua, kepada Mohd Rumsany di Dewan Ghandi, di sini.

Di KEPALA BATAS, seramai 1,088 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi (SMKDHAB), menyumbangkan RM1,200 manakala jawatankuasa kariah Masjid Kapitan Keling menderma RM8,000.

Di KOTA KINABALU, sebanyak RM14,650.12 diterima daripada masyarakat prihatin Sabah melalui masjid, sekolah, koperasi dan bank.

Sementara itu, Tabung Bencana Tsunami Asia - Kementerian Luar yang ditubuhkan Wisma Putra dengan kerjasama Berita Harian dan Harian Metro bersama TV3 serta 8TV semalam mengumpul RM4,595 lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM538, 731.30.

Sumbangan itu didermakan pelbagai pihak termasuk daripada Latipah Hussin sebanyak RM4, 000, dihantar ke Balai Berita di sini, semalam.

Tabung Bencana Tsunami Asia - Kementerian Luar ditubuhkan 2 Januari lalu bagi mengajak rakyat Malaysia menderma untuk membantu mangsa bencana itu di India, Sri Lanka dan beberapa negara lain terutama Aceh.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghulurkannya terus kepada Wisma Putra atau melalui cek kepada Kementerian Luar Negeri dan di belakangnya ditulis ‘Tabung Bencana Tsunami Asia.’

Sumbangan atau cek boleh dihantar ke pejabat Berita Harian atau Harian Metro di Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau kepada TV3 dan 8TV di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, 47800, Petaling Jaya, Selangor.

Sumbangan juga boleh diserahkan kepada pejabat Berita Harian dan TV3 di seluruh negara. Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Tabung Bencana Tsunami Asia - Kementerian Luar menerusi talian 03- 88874061 /4344/4386/4332.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home