Sunday, January 23, 2005

OIC main peranan halang Iran diserang

Excerpt from Utusan


KUALA LUMPUR 22 Jan. - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mempunyai peranan untuk menghalang Amerika Syarikat (AS) daripada menakluki Iran dengan memberikan tekanan dan pandangan kepada negara kuasa dunia itu.

Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Ahmad Faiz Hamid berkata, dalam perkara ini Malaysia sebagai Pengerusi OIC boleh menjadi contoh dengan memulakan tindakan tersebut.

Jelasnya, pandangan daripada OIC itu boleh dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan meminta PBB supaya lebih tegas terhadap AS.

Dalam perkara ini katanya, adalah penting bagi OIC menjadi pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah tersebut bagi menunjukkan negara Islam bersatu padu untuk menentang kekejaman AS.

``Tidak mustahil bagi AS untuk menyerang Iran kerana langkah itu dilihat sebagai usaha Presiden George W. Bush untuk mengukuhkan kedudukan politiknya.

``Biarpun selama ini Iran dilabelkan sebagai negara paksi kejahatan bersama dengan Syria namun dunia perlu ingat, AS yang telah memberikan label tersebut,'' katanya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kamarulnizam Abdullah pula berkata, beliau percaya Iran tidak mempunyai senjata nuklear.

Menurutnya, jika ada, AS tidak akan berani untuk menyerang Iran kerana peperangan nuklear tidak akan memberikan kemenangan kepada sesiapa pun.

``Jika Iran mempunyai senjata nuklear tentu AS tidak akan berani menyerang seperti mana yang berlaku kepada Korea Utara,'' katanya.

Beliau berkata, hubungan AS dengan Iran adalah tegang.

``Bagaimanapun dalam hal ini, Israel yang akan mendapat keuntungan kerana apa jua yang dilakukan oleh AS akan menguatkan kedudukan negara Yahudi itu,'' katanya.

Menurut Dr. Kamarulnizam, adalah menjadi polisi AS bahawa apa-apa jua yang dilakukan di Asia Barat akan memberikan kelebihan kepada Israel.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home