Friday, January 28, 2005

Penduduk Madinah lega banjir surut

Excerpt : BH

MADINAH: Penduduk Madinah mula kembali ke rumah masing-masing semalam selepas air banjir mulai surut dalam kejadian disifatkan terburuk dalam tempoh 20 tahun yang meragut 29 nyawa dan menyebabkan 17 lain cedera.

Setakat semalam, hanya sebuah perkampungan Abyar Ali, kira-kira 10 kilometer di pinggir Madinah, masih ditenggelami air.

Akhbar bahasa Inggeris, Arab News melaporkan, pekerja bertungkus-lumus menyambung bekalan tenaga ketika pelbagai kisah duka tragedi itu muncul dari kawasan kampung di sekitar Madinah.

Di al-Hunakeya, 90 kilometer dari Madinah, anggota bomba menemui mayat budak lapan tahun, tiga hari selepas usaha mencarinya dilancarkan.

Tragedi paling buruk membabitkan kematian 13 sekeluarga yang bersesak dalam satu kenderaan yang dibawa arus ketika cuba menyeberangi kawasan lembah yang ditenggelami air itu. Kesemua mayat mangsa hanya ditemui kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

Namun, kisah sedih itu turut dialami mangsa terselamat yang kembali ke kampung masing-masing dan terkejut dengan kemusnahan yang berlaku.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu membaiki rumah ini,” kata Musleh Al-Muzaini, penduduk penempatan Erwa di Madinah yang menghabiskan wang simpanannya untuk membina rumah berkenaan.

“Saya tidak dapat tinggal kerana kerosakan akibat banjir itu. Tidak pernah terlintas di hati yang hujan lebat itu menyebabkan kemusnahan sebegini. Saya ingatkan akan terselamat kerana tinggal di Madinah dan dikelilingi rumah lain,” katanya.

Penduduk penempatan itu menggesa Empangan Erwa dipindahkan kerana kejadian banjir itu.

Saudi Electricity Company (SEC), syarikat pembekal tenaga memulakan usaha memulihkan bekalan di kawasan terbabit.

Gabenor Madinah, Putera Muqrin Abdul Aziz turut mengarahkan SEC memastikan bekalan tenaga pulih semula di semua kawasan terbabit, secepat mungkin. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home