Sunday, January 23, 2005

PLUS diarah henti denda -- Kerajaan tunggu laporan kes guna lebuh raya lebih had masa

Excerpt from Utusan


Oleh S. ANAND KUMAR


KUALA LUMPUR 22 Jan. - Kementerian Kerja Raya mengarahkan PLUS Expressway Berhad (PLUS) menghentikan serta-merta tindakan mengenakan denda terhadap pengguna kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan melebihi had masa tertentu.

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, PLUS juga telah diminta menyerahkan satu laporan lengkap kepada kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai masalah dihadapi mereka dengan pengguna lebuh raya.

``Saya sudah minta satu laporan terperinci daripada PLUS mengenai apa yang sedang berlaku mengenai penipuan tiket tol, khususnya membabitkan pemandu lori seperti yang dilaporkan pihak PLUS,'' katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PLUS itu yang dianggap sebagai tidak wajar sama sekali oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan meminta ia dimansuhkan segera.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya kelmarin menyatakan PLUS mengesahkan bahawa mereka telah mula mengenakan denda terhadap pengguna kenderaan yang menggunakan lebuh rayanya untuk tempoh masa yang tidak munasabah.

Insiden sebagai contoh, seorang pengguna didenda RM10 apabila berada melebihi dua jam dari tol Jelapang ke Kuala Kangsar.

Menurut kenyataan syarikat itu, tindakan diambil bertujuan membendung kegiatan penyelewengan tol di kalangan pelanggan dan menjamin integriti kutipan tol demi menjaga kepentingan syarikat.

Sebelum ini PLUS mendakwa terdapat penyelewengan dan penipuan tiket tol terutama pemandu kenderaan berat termasuk membabitkan pertukaran tiket antara pemandu.

Bagaimanapun tindakan PLUS mengenakan denda itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai termasuk NGO yang menganggapnya sebagai terburu-buru dan membebankan rakyat.

Sehubungan itu mereka meminta kerajaan campur tangan dengan segera dalam mengkaji peraturan itu.

Mereka berpendapat, penyelewengan berlaku yang membabitkan segelintir pengguna lebuh raya itu harus diselesaikan sendiri oleh PLUS dan bukan menghukum semua pengguna.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal berkata, mengenakan denda akan membebankan pengguna.

``Adakah PLUS mendapat kebenaran daripada kerajaan terlebih dahulu sebelum bertindak sedemikian. Pada saya, tindakan itu bagi menjaga kepentingan mereka tanpa mengambil kira kebajikan rakyat,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Nordin Abdul Hamid berkata, tindakan itu seperti menyalahkan pengguna walaupun ia disebabkan oleh kealpaan PLUS sendiri.

Katanya, PLUS perlu mengambil langkah-langkah keselamatan tertentu untuk mencegah pengguna lebuh raya melakukan penipuan

Menurut Samy Vellu, kementeriannya juga telah mengarahkan PLUS menjalankan satu siasatan berhubung dengan perkara itu dan menyerahkannya kepada Kementerian Kerja Raya dan LLM.

``Sebaik sahaja kertas siasatan disiapkan, Kementerian Kerja Raya akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memperketatkan lagi sistem pembayaran tol untuk mengelakkan sebarang cubaan penipuan tol seperti yang didakwa oleh PLUS,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kuasa PLUS dalam mengenakan denda terhadap pengguna kenderaan Samy Vellu berkata, beliau akan meneliti laporan daripada pihak PLUS terlebih dahulu.

``Perkara ini perlu diteliti secara terperinci sebelum apa-apa keputusan dibuat.

``Saya juga telah berjumpa dengan pegawai-pegawai kementerian dan LLM berkenaan dengan perkara ini dan telah mengarah mereka supaya melakukan siasatan lanjut sebelum tindakan diambil,'' katanya.

Tambahnya, perkara itu perlu dibincang dengan berhati-hati agar tidak berlaku kesilapan dalam membuat keputusan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home