Friday, January 28, 2005

Polis lancar operasi besar-besaran kesan dua suspek

Excerpt : Utusan


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Polis melancarkan operasi besar-besaran mengesan dua samseng jalan raya yang menyebabkan kematian seorang penolong jurutera komputer, Muhamad Nazri Ismail awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Supritendan Raja Ahmad Fuad Raja Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan anggota bahagian siasatan jenayah melakukan rondaan dan risikan bagi menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Katanya, selain itu, beberapa sekatan jalan raya turut diadakan sejak semalam di seluruh kawasan Subang Jaya bagi mengesan suspek berkenaan.

``Bagaimanapun setakat ini, kami belum menemui apa-apa petunjuk berkaitan suspek selain meminta kerjasama orang ramai dan saksi supaya tampil memberi maklumat.

``Kami tetap memburu samseng jalanan ini supaya dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Difahamkan, samseng jalan raya itu menggunakan kereta jenis Kelisa ketika melanggar kereta Muhamad Nazri, 28, di Jalan Kewajipan, Subang Jaya yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

Mangsa merupakan seorang ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Jalan Kenanga, Cheras cedera parah di kepala akibat dibelasah dengan kunci stereng kereta.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-89484822

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II, Hadi Ho Abdullah memberitahu, pihaknya telah mengambil keterangan seorang saksi yang tampil memberikan maklumat setelah terbaca laporan kematian Muhamad Nazri di akhbar-akhbar.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat maklumat yang diperoleh daripada saksi tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home