Tuesday, January 25, 2005

RM10j dikeluar bantu mangsa tsunami - Najib

Excerpt from Utusan


Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

PUTRAJAYA 24 Jan. - Kerajaan telah mengeluarkan bantuan sebanyak RM10 juta bagi membantu mangsa tragedi tsunami 26 Disember lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah itu dijangka akan bertambah apabila mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negara hari mengumumkan beberapa ketetapan tambahan, antaranya menetapkan kategori baru bantuan bagi mereka yang mengalami kerosakan peralatan dalam rumah kerana bencana itu.

Katanya, di bawah ketetapan baru itu, setiap rumah yang mengalami kerosakan peralatan lebih RM2,000 akan dibayar RM2,000 manakala mereka yang jumlah kerugiannya kurang RM2,000 akan dibayar RM1,000.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu juga mengarahkan supaya segala bantuan yang telah diumumkan diselesaikan sebelum akhir minggu ini.

``Ini kerana terdapat bilangan tambahan kepada senarai mangsa asal yang kemukakan tuntutan di peringkat daerah, jadi kita tetapkan supaya menjelang akhir minggu ini semua pembayaran perlu diselesaikan,'' katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Sementara itu beliau memberitahu, mereka yang tampil untuk mengemukakan tuntutan selepas minggu ini perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

Ditanya adakah pihaknya mengesan sebarang tuntutan palsu, Najib memberitahu senarai tuntutan disemak di peringkat daerah oleh pegawai daerah bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan penghulu bagi memastikan kesahihannya.

Mengenai mangsa yang dilaporkan hilang dan dipercayai sudah meninggal dunia sama ada di dalam atau luar negara, beliau berkata, sumbangan kerajaan sebanyak RM20,000 akan dibayar hanya selepas kehilangan mereka disahkan melalui laporan polis dan oleh pegawai daerah bagi kes tempatan.

Dalam pada itu, Najib memberitahu kerja-kerja membaik pulih 523 unit rumah di Kedah dan Pulau Pinang yang rosak dalam bencana tsunami akan dilakukan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menurutnya, kontraktor-kontraktor kelas F telah dilantik oleh SPNB untuk menjalankan kerja-kerja tersebut dan mereka diberi tempoh sebulan untuk menyiapkannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu juga telah meluluskan cadangan SPNB untuk membina rumah-rumah kekal yang berkonsepkan mesra rakyat termasuk 126 unit di kawasan Kota Kuala Muda yang melibatkan kos RM9 juta.

Buat masa ini, mangsa-mangsa terbabit tinggal di 120 unit rumah transit yang dibina oleh kerajaan.

Najib memberitahu, di Langkawi, 40 unit rumah mesra rakyat akan dibina manakala di Pulau Pinang pula sebanyak 900 unit yang kesemuanya melibatkan kos sebanyak RM62.28 juta.

Menurutnya, setiap unit rumah kekal bernilai tidak kurang daripada RM40,000 dengan nilai sebenar kira-kira RM50,000 termasuk harga tanah.

``Kita gunakan prinsip iaitu satu pertiga daripada kos disumbangkan melalui subsidi kerajaan, satu pertiga lagi melalui Tabung Bencana Negara dan mereka (mangsa) hanya perlu membayar satu pertiga lagi kos rumah tersebut dengan bayaran balik cuma lingkungan RM50 sebulan sahaja.

``(Bantuan) ini cukup besar nilainya memandangkan rumah ini bermutu tinggi dan keluasannya tidak kurang daripada 1,000 kaki persegi,''katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home