Friday, January 28, 2005

Salji di Algeria selepas 55 tahun

Excerpt : Utusan


ALGIERS 27 Jan. - Beberapa kawasan di Algeria dituruni salji tebal sejak semalam - kejadian kedua selepas buat pertama kalinya ia turun di negara itu pada 55 tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan sistem pengangkutan dan laluan trafik di negara ini lumpuh sama sekali.

Beberapa kawasan di timur laut dan bandar Skikda, terputus hubungan selepas salji turun selama 36 jam dan angin kuat melanda bandar itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa cuaca buruk akan berterusan untuk beberapa hari ini dan orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan.

Pusat Perkhidmatan Meteorologi Algeria memberitahu, salji tersebut adalah yang paling tebal pernah turun di negara itu sejak 1950.

Lebih 100 laluan jalan raya termasuk beberapa lorong motosikal terjejas teruk di 13 daripada 43 buah wilayah di negara ini.

Kebanyakan pejabat pentadbiran awam, sekolah dan lapangan terbang terpaksa ditutup.

Beberapa buah kawasan perkampungan juga mengalami gangguan elektrik.

Menurut seorang anggota polis trafik, dia tidak pernah menyaksikan kejadian itu dan menganggapnya sebagai satu keajaiban.

``Salji tersebut sangat cantik dan saya sekarang ini berusia 24 tahun serta tidak pernah merasainya sebelum ini,'' katanya.

Selain Algeria, salji juga dilaporkan turun di kawasan barat laut Tunisia. - Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home