Thursday, January 27, 2005

Samseng jalan bunuh juruteknik

Excerpt from BH

Oleh Azman Zakaria


KUALA LUMPUR: Seorang ahli jawatankuasa Pemuda Umno Cawangan Jalan Kenanga, Cheras, meninggal dunia awal pagi semalam selepas kira-kira 17 jam bertarung nyawa kerana cedera, dipercayai dipukul samseng jalan raya di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, kelmarin.

Muhammad Nazri Ismail (gambar), 28, juruteknik komputer di sebuah syarikat di Shah Alam, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 1.30 pagi semalam. Kejadian berlaku kira-kira 8.20 pagi kelmarin ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menghantar isterinya.

Siasatan awal polis mendapati kereta Muhammad Nazri mungkin terbabit dalam kemalangan kecil dengan sebuah kenderaan dinaiki dua orang di tempat lain sebelum mereka mengejar mangsa sehingga ke Persiaran Kewajipan berhampiran simpang SS14/6M, Subang Jaya.

Polis yang tiba di kawasan itu kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan orang ramai, menemui mangsa separuh sedar terbaring dengan kepala berdarah, di atas rumput di tepi jalan.

ISTERI Allahyarham Muhammad
Nazri, Normah Mohd
Yusof bersama anaknya
Nor Elina Jasmin, 3,
tidak dapat menahan sebak
ketika menunggu jenazah
suaminya di HKL, semalam.
– Gambar oleh Effendy Rashid


Sebatang pengunci stereng dengan kesan darah ditemui tidak jauh dari mangsa, manakala pada kereta Proton Wira Muhammad Nazri, rim sebelah kiri depan dan belakang kemek, manakala tayar depan sebelah kiri pancit.

Barang peribadi mangsa seperti dompet dan kad kredit ditemui dalam kereta, manakala pintu bahagian pemandunya terbuka.

Allahyarham yang tinggal di Taman Kinrara, Puchong, meninggalkan isteri, Normah Mohd Yusof dan dua anak perempuan, Nor Elina Jasmin, 3, dan Nor Edrina Farisha, 10 bulan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Kamal Rosli Skymmar A Wahad Skymmar, berkata polis masih menyiasat dan tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku di tempat lain dan mangsa cuba melarikan diri tetapi dikejar sehingga ke Persiaran Kewajipan.

“Ini berdasarkan tiada kesan kemalangan di situ tetapi bahagian kiri kereta mangsa kemek dan tayar depannya pancit yang memungkinkan mangsa tidak boleh melarikan diri dengan kereta itu.

“Berdasarkan laporan awal, mangsa meninggal dunia akibat luka sepanjang kira-kira dua inci dan satu inci dalam di kepala, dipercayai akibat hentakan dengan objek keras. Anggota lain badannya tidak cedera,” katanya.

Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta mereka yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Normah, 28, ketika ditemui di HKL semalam berkata, beberapa minit sebelum kejadian, suaminya sempat menghubungi rakan sepejabat menyatakan ada orang hendak memukulnya.

“Arwah sempat telefon pejabatnya. Dia beritahu terbabit dalam kemalangan dan ada orang nak memukulnya. Arwah juga bertanyakan di mana balai polis terdekat. Kemudian talian terputus... itulah percakapannya yang terakhir,” kata Normah, sambil memangku anak sulungnya.

Normah, kerani di RHB Bank, Jalan Tun Razak di sini berkata, rakan-rakan pejabat Allahyarham dan beliau cuba menghubungi telefon bimbit Muhammad Nazri tetapi panggilan itu tidak dijawab walaupun ada nada dering.

Beliau berkata, seperti biasa pada pagi Selasa lalu, Muhammad Nazri menghantarnya ke tempat kerja di Jalan Tun Razak sebelum ke pejabatnya di Chungco Technology Sdn Bhd, di Shah Alam.

Bagaimanapun, kira-kira jam 11.30 pagi, Normah menerima panggilan telefon daripada abang ipar Allahyarham, Mohd Rofizi Md Yatim, menyatakan suaminya terbabit dalam kemalangan, lalu dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya dan dipindahkan ke HKL.

“Mohd Rofizi tidak beritahu keadaan sebenar suami saya, mungkin dia bimbangkan saya terperanjat. Saya sempat berjumpa dengan Allahyarham di HKL sebelum dia meninggal. Keadaannya memang kritikal dengan kepala berdarah dan lehernya dipakaikan alat sokongan.

“Tetapi saya tahu, daripada reaksinya ketika itu dia memang mengetahui kehadiran saya. Air matanya mengalir ketika saya bercakap dengannya tetapi dia tidak boleh bercakap, dia tak boleh bergerak langsung. Doktor beritahu saya, keadaannya terlalu kritikal,” katanya dengan linangan air mata.

Normah berkata, ketika kali terakhir menghantarnya ke tempat kerja, Muhammad Nazri ada berpesan kepadanya supaya rajin bekerja serta menjaga kedua-dua anak mereka dengan baik.

“Bila arwah cakap macam itu, saya tidak sedap hati kerana memikirkan sesuatu yang tidak baik mungkin berlaku. Sebelum ini arwah pernah cakap seperti itu dan kemudian terbabit dalam kemalangan tetapi kemalangan kecil,” katanya.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, anak sulung mereka, Nor Elina Jasmin tidak mahu tidur bersama bapanya dan Allahyarham hanya tersenyum melihat gelagat anaknya itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home