Monday, January 31, 2005

Samseng serang Nazri dikenal pasti


BATU PAHAT: Polis sudah mengenal pasti dua samseng yang terbabit dalam serangan dan kematian juruteknik komputer, Muhammad Nazri Ismail, di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, Selasa lalu.


Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, berkata kedua-dua suspek itu dijangka ditahan sedikit masa lagi.

Katanya, polis juga sudah menemui beberapa petunjuk termasuk jumlah mereka yang terbabit, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kereta yang digunakan penyerang dalam kejadian itu.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Yahaya Udin, berkata polis sedang mengesan wanita pemilik kereta Perodua Kelisa yang dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan kereta Muhammad Nazri.

Katanya, polis berjaya mengenal pasti pemilik kereta yang berdaftar di Kuala Lumpur itu dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Bagaimanapun, polis percaya pemilik kenderaan itu tidak terbabit dalam kemalangan berkenaan, sebaliknya keretanya digunakan orang lain ketika kejadian.

Noh berkata, beliau juga sudah mengarahkan polis menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan mereka diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Maklumat awal mendapati mangsa diserang dua orang dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan mereka selain kenderaan yang sudah dikenal pasti,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Keselamatan Jalan Raya dan Keselamatan Awam di Parit Raja, semalam.

Katanya, bagaimanapun polis memerlukan kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, polis mempunyai kemampuan untuk mengesan mereka yang melakukan jenayah walaupun kemungkinan suspek terbabit sudah keluar dari Lembah Klang untuk melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi Selasa lalu, Muhammad Nazri, yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Umno Cawangan Jalan Kenanga, Cheras, ditemui dalam keadaan separuh sedar terbaring dengan kepala berdarah, di atas rumput di tepi jalan.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kira-kira 17 jam bertarung nyawa kerana kecederaan di kepala.

Kes itu mendapat perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mengajak rakyat supaya menanam sikap benci kepada perbuatan seperti itu sebagaimana perasaan mereka terhadap sebarang bentuk jenayah dan keganasan lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home