Tuesday, January 25, 2005

Tabung hampir cecah RM700,000

Excerpt from Utusan


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-Maybank (TKAUM) terus mendapat sambutan hangat daripada rakyat yang prihatin terhadap mangsa ombak besar tsunami 26 Disember lalu.

Sehingga kini jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul mencapai ke angka RM699,948.64.

Selain itu, Tabung Kemanusiaan Aceh Kumpulan Utusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan kerjasama Ikatan Masyarakat Penyayang (IMPEG) pula mencecah kepada RM31,217.50.

Sekolah Menengah Sains Selangor di Ampang turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,499 kepada TKAUM.

Sumbangan guru-guru dan pelajar sekolah itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Ampang Jaya, Dr. Rozaidah Abu Talib.

Sementara itu di IPOH, seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup mengorbankan empat bulan gajinya sebagai tanda simpati bagi membantu mangsa tsunami di Aceh.

Rofingah Sutasmo, 21, dari Majasari I, Pagentan, Banjar Negara, Jawa Tengah datang ke pejabat Utusan Melayu di sini bagi menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada TKAUM.

Beliau yang ditemani oleh majikannya berkata, keinginan untuk menderma itu timbul selepas setiap hari mengikuti berita tentang bencana itu melalui media cetak serta media elektronik.

Katanya, walaupun tidak mempunyai saudara mara di Aceh, sumbangan ikhlas itu juga tidak lain dan tidak bukan untuk membantu saudara seagama bagi meringankan beban mereka.

Di KUALA LIPIS, sumbangan sebanyak RM3,268 diterima daripada UMNO Bahagian Cameron Highlands diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail.

Sumbangan itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Kemanusiaan Aceh sebelum diserahkan kepada TKAUM.

Orang ramai boleh terus menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank bernombor 5-14011-38916-2 sehingga 31 Januari ini.

Di KUCHING, Ahli Jawatankuasa Surau Darul Amin, Petra Jaya, menderma sebanyak RM2,217.37 untuk Tabung Kemanusiaan Aceh.

Cek sumbangan itu telah disampaikan oleh Setiausahanya, Jasmi Hamid di pejabat Utusan Malaysia Kuching.

Selain itu orang ramai juga juga boleh memasukkan cek atau wang tunai menerusi mana-mana Mesin Deposit Cek Maybank, Pindaan Wang Ketiga melalui mesin ATM atau melalui Internet di alamat www.maybank2u.com.

Sumbangan melalui SMS pula boleh dibuat melalui talian Maxis 012, TM Touch 013, Digi 016, dan Celcom 019 dengan menaip IMPEG dan dihantar ke nombor 32300.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home