Friday, January 14, 2005

TNB kebingungan

Excerpt from Utusan

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Gangguan bekalan elektrik hampir lima jam meliputi kawasan strategik ibu kota, Putrajaya sehingga ke Johor tengah hari ini menimbulkan tanda tanya apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri ``kebingungan'' dengan kejadian itu.

Syarikat utiliti itu yang menolak `berlakunya unsur-unsur sabotaj' pada punca kejadiannya di stesen jana elektrik Kapar di Klang menjelaskan ``kerosakan pada perkakas suis di jana elektrik itu bukanlah sesuatu yang biasa.''

Kenyataan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional, Datuk Abdul Hadi Mohamed Drus jelas mencetuskan persoalan apa sebenarnya yang sudah berlaku?

Abdul Hadi dalam sidang akhbar tergempar di sini 3 petang ini berkata: ``Terdapat dua perkakas seperti itu, satu untuk standby (sokongan) dan satu berfungsi, tetapi kali ini kedua-duanya gagal berfungsi.''

Beliau tidak dapat menjawab soalan wartawan apabila ditanya bagaimana perkakas suis `standby' itu pun gagal berfungsi.

``Kami masih tidak tahu apa yang menyebabkan sistem terpelantik di stesen jana elektrik Kapar di Klang,'' kata Abdul Hadi lagi.

Kejadian yang berlaku pada pukul 12.16 tengah hari ini mencetuskan suasana kelam-kabut dan menjejaskan banyak sektor ekonomi di Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Lebih membingungkan TNB, laporan perunding asing yang memasang `perkakas suis' itu memberi jaminan bahawa sistem bekalan kuasa syarikat itu adalah ``lasak'' daripada sebarang gangguan elektrik.

Pemasangan pada perkakasan itu adalah sebahagian daripada usaha TNB untuk memastikan bekalan kuasa yang lancar kepada enam juta pelanggannya di seluruh negara. TNB memperuntukkan perbelanjaan tahunan sebanyak RM4 bilion untuk menaik taraf talian penghantaran dan pengedaran.

``Masa dua jam 45 minit yang diambil untuk memulihkan bekalan elektrik agak lama dan kami tidak begitu senang dengannya kerana seorang juruperunding asing tahun lalu memberikan laporan bahawa sistem TNB adalah lasak,'' kata beliau.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dalam satu lagi persidangan berita di ibu pejabat Tenaga Nasional berkata, pada peringkat ini, katanya, TNB masih tidak dapat menunjukkan masalah sebenar perkakas suis itu di stesen jana elektrik Kapar yang terpelantik pada tengah hari ini, memandangkan ia akan mengambil sedikit masa untuk menyiapkan laporan siasatan.

Ditanya sama ada terdapat unsur sabotaj, katanya: ``Kita perlu menentukan sama ada ia kesilapan manusia atau penyenggaraan yang tidak memadai. Kemudian kita akan mengambil langkah-langkah pembetulan.''

Syarikat itu dalam kenyataannya sebelum itu memberitahu, gangguan bekalan adalah disebabkan oleh kerosakan perkakas suis (switchgear) di Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kapar. Ia turut menjejaskan sistem grid ke negeri-negeri di selatan Semenanjung.

TNB, jelas kenyataan itu telah mencatatkan kehilangan beban sebanyak 1,700 Megawatt.

Kira-kira sejuta pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjejas akibat gangguan selama hampir lima jam itu.

Menjelang 2.50 petang, bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa bahagian Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Melaka dan keseluruhan Johor. Kuasa elektrik pulih sepenuhnya 5 petang ini.

Kejadian hari ini berlaku tidak sampai 16 bulan sejak kejadian yang hampir sama terjadi membabitkan negeri-negeri utara Semenanjung sehingga ke Kelantan.

Bagaimanapun para penganalisis - industrialis, ahli politik, birokrat - menyifatkan kejadian hari ini sebagai yang terburuk sejak Ogos 1996, apabila seluruh negara bergelap selama 17 jam.

Ini kerana, menurut mereka, ia turut membabitkan pusat pentadbiran negara dan ibu negara yang mengandungi pelbagai institusi strategik.

Pada 1 September 2003 kejadian gangguan elektrik bersaiz nasional berlaku apabila bekalan elektrik di negeri-negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah termasuk Langkawi, Perlis dan Kelantan - terputus sejak 9.58 pagi berjaya dipulih sepenuhnya empat jam kemudian.

Siasatan awal Pasukan Bertindak Kecemasan TNB mendapati gangguan itu berlaku apabila talian penghantaran bantuannya terpelantik ketika kerja-kerja penyenggaraan dijalankan.

Kejadian paling buruk dalam sejarah TNB berlaku pada 3 Ogos 1996 apabila seluruh Semenanjung bergelap selama 16 jam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home