Saturday, January 15, 2005

Tsunami: SPNB peruntuk RM70j baiki, bina rumah

Excerpt from Utusan

BALIK PULAU 14 Jan. - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi kos membaiki rumah serta membina rumah transit dan penempatan semula untuk penduduk yang terjejas akibat ombak besar tsunami.

Peruntukan itu diluluskan semalam hasil perbincangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan SPNB.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd. Amin Mohd. Salleh berkata, penempatan semula yang terletak kira-kira 300 meter dari pantai itu melibatkan pembinaan 900 unit rumah di Pulau Pinang dan 600 unit di Kedah. Menurutnya, di Pulau Pinang ia meliputi 800 unit di Kuala Muda, Seberang Perai Utara (SPU) dan 100 unit lagi di kawasan Tanjung Bungah manakala di Kedah membabitkan 586 unit di Kota Kuala Muda, Sungai Petani serta 14 unit di Pulau Langkawi.

``SPNB telah memperoleh kelulusan daripada kerajaan-kerajaan negeri terbabit.

``Kerja-kerja pengambilan tanah dijangka memakan masa tiga bulan dan sebaik selesai, kita akan memulakan kerja pembinaan yang akan siap dalam tempoh enam bulan,'' katanya.

Bencana tsunami yang melanda rantau ini pada 26 Disember lalu sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa di beberapa negara termasuk 68 orang di Malaysia menimbulkan kebimbangan kerajaan mengenai nasib penduduk yang yang tinggal di tepi pantai.

Sehubungan itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 8 Januari lalu mengarahkan rumah-rumah yang terdedah kepada bencana termasuk tsunami dipindahkan ke kawasan penempatan baru yang lebih jauh dari pesisiran pantai.

Perdana Menteri berkata, penempatan baru itu akan dibina dengan struktur bangunan yang lebih kukuh, tersusun dan pada kedudukan yang dapat mengelak bencana itu pada masa depan.

Mohd. Amin berkata, pembinaan unit penempatan semula ``program rumah mesra'' SPNB itu akan mengurangkan beban penghuninya membuat pembayaran bulanan menerusi konsep pinjaman mudah.

Menurutnya, bagi penduduk yang dipindahkan ke penempatan itu akibat tsunami, mereka dibenarkan membayar RM50 sebulan bagi tempoh selama 22 tahun.

Bagi keluarga yang tidak terjejas tetapi dipindahkan, mereka akan dikenakan bayaran bulanan sebanyak RM100 bagi tempoh serupa.

``Setiap unit berharga RM45,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air,'' katanya.

Mengenai rumah transit, beliau berkata, SPNB akan turut membina kira-kira 126 unit rumah jenis itu di Kuala Muda, SPU.

``Penduduk terlibat akan ditempatkan buat sementara di situ selama tiga bulan sebelum dipindahkan ke penempatan kekal,'' katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan kontrak SPNB bernilai RM300,000 kepada Konsortium Sepadu Balik Pulau Berhad (Sepadu) untuk membaik pulih 112 rumah di Daerah Barat Daya yang rosak teruk akibat tsunami.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home