Saturday, February 05, 2005

104 maut nahas pesawat

Excerpt : BH

KABUL: Sebuah pesawat Kam Air Afghanistan membawa 104 penumpang termasuk warga asing, terhempas selepas diarahkan mengubah haluan dari Kabul, berikutan ribut salji yang buruk.
Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan nasib penumpangnya.

Bangkai pesawat malang jenis Boeing 737 itu ditemui di timur ibu negara Afghanistan semalam, sehari selepas dilaporkan hilang.

“Anggota penyelamat dapat mengesan lokasi nahas itu 57 kilometer ke timur Kabul,” kata satu sumber keselamatan Barat yang enggan dikenali.

Laporan awal menyatakan pegawai syarikat penerbangan swasta pertama Afghanistan itu berkata hubungan terputus dengan pesawat dalam perjalanan dari bandar Herat, di barat Afghanistan ke Kabul sejak tengah hari kelmarin apabila ia meminta kebenaran mendarat di Pakistan.

Pasukan pengaman antarabangsa dan tentera Afghan sudah memulakan usaha mencari di kawasan pergunungan negara itu ketika tentera Amerika Syarikat pula menawarkan bantuan.

Pesawat itu membawa 96 penumpang, termasuk warga asing yang tidak diketahui kerakyatan mereka setakat ini, kata Presiden syarikat penerbangan itu, Ezmarai Kamgar pada satu sidang media di Kabul.

Satu laporan lain memetik kenyataan pejabat perdana menteri Turki berkata, sembilan warga Turki menaiki pesawat itu.

Enam daripada anak kapalnya adalah dari Russia manakala dua lagi rakyat tempatan.

Seorang pegawai badan bukan kerajaan di Herat berkata, tiga wanita Amerika berusia 20 tahun dan 30 tahun yang bertugas dengan sebuah agensi perkhidmatan kesihatan, Management Sciences for Health, juga adalah antara penumpang malang itu.

Pegawai kedutaan Amerika di Kabul, Elizabeth Lee mengakui pihaknya menyedari kemungkinan ada rakyatnya di dalam pesawat berkenaan tetapi tidak dapat mengesahkannya setakat ini kerana tiada senarai penumpang.

Mesej terakhir dibuat pesawat itu sebelum hilang adalah meminta kebenaran pengawal trafik udara Kabul untuk mendarat di Peshawar, sebuah bandar di timur laut Pakistan yang bersempadankan Afghanistan.

Syarikat itu sudah menghubungi semua lapangan terbang berdekatan tetapi hanya satu memberi jawapan menyatakan pesawat itu tidak mendarat, kata Shah Mohammad, wakil Kam Air.

Timbalan Pengurus Operasi Kam Air Feda Mohammad Fedawi berkata pesawat itu menghubungi pengawal trafik udara di Kabul jam 3.15 petang waktu tempatan sebelum komunikasi terputus. – AFP/Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home