Friday, February 04, 2005

2 direman, 1 tahan

Excerpt : BH

Oleh Munira Yusoff, Rafidah Mat Ruzki dan Norakmah Mat Youb

SHAH ALAM: Dua lelaki direman 13 hari bagi membantu siasatan pembunuhan juruteknik komputer, Muhammad Nazri Ismail di Subang Jaya minggu lalu, manakala kereta lelaki yang disyaki menyerang Allahyarham ditemui dengan kesan terbakar di kawasan paya bakau Pelabuhan Barat, Klang semalam.

Polis juga sedang memburu Rajasegaran Munisamy, 25, penghantar surat beralamat terakhirnya 7, Lorong 1, Taman Cemerlang, Hutan Melintang, Perak yang dipercayai berada dalam kereta berkenaan ketika kejadian, bagi melengkapkan siasatan.

Dua lelaki yang ditahan setakat ini, penarik kereta dan pemandu van kilang, diperintahkan direman oleh Majistret Azroul Hisham Azulan di Petaling Jaya semalam, untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah yang membenarkan polis menahan seseorang sehingga 14 hari untuk membantu siasatan mereka.

Kedua-duanya, masing-masing berusia 25 dan 19 tahun, dibawa ke mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Hadi Ho Abdullah, berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di tepi jalan di Ipoh kira-kira jam 3.30 petang selepas polis menerima maklumat orang ramai.

Ekoran penahanan lelaki itu, polis menangkap seorang lagi lelaki berusia 19 tahun di Taman Sri Muda, dekat sini kira-kira 7.30 pagi semalam.

“Pemuda itu kemudian membawa sekumpulan polis ke kawasan paya bakau di Pelabuhan Barat, tempat sebuah kereta dengan kesan terbakar, ditemui.

“Dia kemudian ditahan kerana cuba memusnahkan bahan bukti, sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipercayai dipandu samseng jalan raya itu ketika kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, petang semalam.

Hadi berkata, Rajasegaran, yang sedang dicari, dipercayai berada di tempat kejadian dan kerjasamanya amat penting untuk melengkapkan siasatan kes itu.

“Dia dipercayai bekerja sebagai kerani penghantar surat di sebuah kedai menjual aksesori kereta,” katanya sambil meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai Rajasegaran menghubungi Inspektor Abang Zulkarnain Abang Mohamad di talian 012-3616446/016-6582494/03-56332222.

Ditanya sama ada salah seorang lelaki itu mempunyai sebarang rekod jenayah, Hadi Ho enggan mengulas.

Katanya, polis kini menyiasat untuk mengetahui motif pembunuhan berkenaan.

Muhammad Nazri yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Umno Cawangan Jalan Kenanga, Cheras, meninggal dunia 26 Januari lalu akibat kecederaan di bahagian belakang kepalanya dipercayai dipukul dengan senjata keras.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home