Friday, February 25, 2005

Dua lelaki korban terbaru kes demam denggi

Excerpt : Utusan

PUTRAJAYA 24 Feb. - Dua lagi kematian akibat demam denggi dicatatkan pada minggu ketujuh menjadi jumlah keseluruhan 24 kes di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Ramlee Rahmat berkata, kes kematian itu dicatatkan di Kuala Lumpur dan Melaka membabitkan dua lelaki masing-masing berumur 54 dan 21 tahun.

Katanya, kes kematian itu dilaporkan berlaku di Hospital Selayang pada 16 Februari, manakala satu lagi kes kematian berlaku di Hospital Besar Melaka pada 6 Februari.

``Jumlah ini telah mengatasi angka kematian akibat denggi pada minggu ketujuh tahun lepas yang hanya enam kes,'' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mingguan perkembangan denggi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramlee berkata, kes denggi pada minggu ketujuh juga mengalami peningkatan sebanyak 124 kes daripada 963 kes minggu lalu kepada 1,087.

Katanya, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan kecuali empat buah negeri yang menunjukkan penurunan kes iaitu Negeri Sembilan 10 kes, Sabah (sembilan), Pahang (tiga) dan Labuan (dua).

Beliau berkata, Selangor masih mencatatkan negeri yang mempunyai kes tertinggi iaitu 427, diikuti Kuala Lumpur (172), Perak (125), Pulau Pinang (63) dan Johor (43).

``Kita lihat ada peningkatan di kebanyakan negeri dan semua Jabatan Kesihatan Negeri diarahkan meningkatkan usaha pengawalan dan pencegahan secara berterusan supaya jumlah kes denggi dapat dikurangkan,'' katanya.

Sementara itu, beliau meminta pihak pemaju turut memainkan peranan dalam usaha mengawal wabak denggi berikutan jumlah tapak pembinaan yang didapati positif menjadi tempat pembiakan aedes masih tinggi.

``Di Selangor, daripada 101 tapak pembinaan yang diperiksa pada minggu ketujuh, kita dapati 69 positif dan dari 34 tapak pembinaan di Kuala Lumpur, 27 daripadanya positif,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home