Wednesday, February 23, 2005

Edisi Utara: Rangka manusia purba ditemui

Excerpt HM

Oleh Baharin Ramly

KUALA KURAU: Ratusan rangka dan tengkorak manusia yang ditemui di Pulau Kelumpang, Kuala Gula di sini, memperkuatkan bukti pulau berkenaan pernah didiami masyarakat maritim sejak ribuan tahun lalu.


Sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Prof Madya Dr Nik Hassan Suhaimi yang melakukan kerja ekskavasi pada 1987 menemui banyak artifak peninggalan masyarakat itu dipercayai hidup sekitar tahun 1,000 Masihi.

Selain periuk belanga dan bekas air, kerja ekskavasi itu yang mendapat kerjasama Jabatan Muzium Negara juga menemui manik-manik yang digunakan masyarakat berkenaan sebagai barang hiasan.

Ada tujuh pulau yang tersorok dalam hutan paya bakau, kira-kira dua kilometer dari Kuala Gula, selain beberapa pulau di kawasan menjadi tempat persemadian masyarakat maritim itu berdasarkan penemuan ratusan rangka serta tengkorak manusia.

Pulau Kelumpang juga dikenali sebagai Pulau Lanun dipercayai menjadi tempat persembunyian sekumpulan masyarakat maritim yang melakukan kegiatan merampas barangan daripada kapal dagang yang melalui Selat Melaka.

Bagi penduduk tempatan, Pulau Kelumpang sehingga kini dianggap 'keras' kerana banyak peristiwa ganjil dikatakan pernah berlaku di situ.

Ia termasuk peristiwa seorang pencari ketam nipah terserempak dengan tempayan harta karun muncul di salah sebuah pulau di kawasan itu beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun kerana ketakutan melihat asap yang keluar bersama tempayan itu, pencari ketam terbabit pulang ke rumah untuk mengajak rakannya bagi mendapatkan harta karun itu, namun gagal mengesannya.

Seorang nelayan, Idris Bakar, 50, yang sering ke pulau itu, berkata ratusan tengkorak dan rangka manusia dipercayai berusia ribuan tahun ditemui di kawasan itu kerana ia timbul akibat pukulan ombak serta hakisan.

“Kalau saya dan rakan lain menemui rangka dan tengkorak manusia timbul di pulau itu, kami akan berusaha menanamnya balik di tempat lebih tinggi supaya ia tidak ditelan laut,’ katanya ketika ditemui.

Menurutnya, disebabkan Pulau Kelumpang kaya dengan bahan sejarah serta diselubungi misteri, baru-baru ini dia turut membawa krew Misteri Nusantara TV3 meninjau kesan peninggalan sejarah di pulau berkenaan.

“Beberapa tengkorak manusia kami temui timbul di permukaan tanah berdekatan tebing salah sebuah pulau dan semuanya kami tanam balik di tempat lebih tinggi agar tidak tenggelam dibawa hakisan,” katanya.

Idris berkata, walaupun pulau itu terbiar, namun ia seolah-olah sentiasa dibersihkan kerana tiada semak-samun tumbuh, kecuali rimbunan pokok buluh yang dijaga rapi seperti yang boleh dilihat di kebun bunga.

“Selain pokok buluh yang seolah-olah dijaga makhluk ghaib, kawasan di pulau itu juga tumbuh beberapa batang pokok Kelumpang yang sesetengahnya sebesar lima pemeluk orang dewasa,” katanya.

Katanya, ada nelayan menemui barang berharga termasuk batu permata dan keris di pulau itu, tetapi memulangkannya semula kerana sering diganggu makhluk halus dipercayai menjaga pulau itu sejak ribuan tahun lalu.

“Sesiapa yang mengambil barang yang ditemui di pulau itu tidak akan senang duduk dan terpaksa memulangkannya semula bagi mengelak gangguan berterusan,” katanya.

Katanya, untuk sampai ke pulau itu, orang ramai perlu menempah bot di pengkalan nelayan di Kuala Gula dengan dikenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 untuk perjalanan pergi balik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home