Sunday, February 27, 2005

Gegaran kejutkan 3,000 pelajar UiTM di Puncak Perdana


Excerpt : BH

Oleh Hariyati Ariffin

SHAH ALAM: Lebih 3,000 pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Puncak Perdana di sini terkejut apabila merasai beberapa gegaran kuat di kawasan itu, kelmarin.

Gegaran yang dikatakan berlaku pada jam 8 pagi dan jam 12.30 tengah hari serta sedikit gegaran pada jam 10 malam, juga menyebabkan tangga di dewan makan kampus UiTM mengalami keretakan.

Kakitangan UiTM Puncak Perdana, Suraida Salleh, 35, berkata beliau berada di dewan makan bersama seorang rakan apabila merasai gegaran yang agak kuat pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, gegaran itu membuatkan orang ramai berasa terkejut dan terdiam seketika serta terbayangkan kemungkinan tragedi Highland Tower berulang di situ.

"Beberapa keretakan dikesan di tangga dewan makan dan pihak pentadbiran UiTM Puncak Perdana sudah dimaklumkan mengenai perkara itu. Setahu saya, sebelum ini, tangga itu tidak retak," katanya.

Seorang pelajar, Antonia Antonius, 21, berkata ketika gegaran berlaku beliau dapat berasakan badannya sedikit bergoyang dan tingkap turut sedikit bergegar.

Antonia bimbang kerana pelajar UiTM lain selalu merasakan gegaran seumpama itu sejak kira-kira sebulan lalu, namun gegaran kelmarin dianggap amat kuat berbanding sebelum ini.

Pelajar lain, Tuan Zulkiflee Tuan Yeh, 20, pula berkata, biliknya di Kolej Puncak Perdana bergegar ketika gegaran berlaku, malah komputer dan lantai juga bergoyang seolah-olah berlaku gempa bumi.

"Saya berasa agak cemas dan bertanya kepada beberapa kawan lain dan ramai yang turut mengalami peristiwa sama. Saya benar-benar harap ia tidak akan berlaku lagi," katanya.

Rakannya, Wan Mohd Faisal Wan Zaid yang sedang makan di gerai di Jalan U10 di Puncak Perdana, pula berkata tanah yang dipijak terasa bergegar dan tingkap cermin kereta bergegar.

"Kami rasa mungkin ada gempa bumi di tempat lain. Bagaimanapun, paling kami bimbang jika kolej tempat kami tinggal dan fakulti tempat kami belajar runtuh," katanya.

UiTM Puncak Perdana menempatkan dua fakulti iaitu Komunikasi dan Pengajian Maklumat serta Teknologi Maklumat, selain enam blok pangsapuri yang menempatkan kakitangan dan pelajar daripada empat fakulti.

Sementara itu Pegawai perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad, menolak kemungkinan gegaran itu berpunca daripada beberapa projek yang dijalankan di sekitar itu.

Sambil menyatakan tidak mengetahui punca sebenar gegaran berkenaan, beliau berkata, semua kerja yang membabitkan projek perumahan sudah pun diberhentikan beberapa minggu lalu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home