Wednesday, February 09, 2005

Harga petrol tidak naik

Excerpt


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kerajaan dijangka tidak akan menaikkan harga minyak petrol dalam masa terdekat memandangkan harga minyak global berada di paras stabil dan munasabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, kerajaan bagaimanapun sedang mengawasi perkembangan harga minyak global semasa.

``Jika harga minyak kekal di paras sekarang, tidak perlu untuk kita menaikkan harga,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera Minoriti di sini, hari ini.

Harga minyak mentah di pasaran komoditi New York didagangkan pada harga AS$45 (RM171) setong.

Mengenai subsidi bahan api, Mustapa berkata, kerajaan juga tidak merancang untuk melupuskan kesemuanya pada masa ini tetapi kerajaan perlu bersikap realistik untuk mengkajinya semula jika harga minyak melangkaui paras semasa.

Beliau berkata, perkara penting ialah kerajaan mahu membanteras salah guna subsidi kerana kerajaan sememangnya tidak mampu menanggung subsidi tinggi untuk tempoh yang lama.

``Kami mahu melaksanakan rasional untuk mencegah salah guna.

``Jika subsidi mencecah paras tertentu, kita perlu bersikap realistik untuk mengkajinya,'' ujar beliau.

Menurutnya, keseluruhan isu subsidi perlu diteliti kerana kepentingan subsidi ialah ia memastikan kelompok tertentu dalam negara boleh menikmati sama pembangunan ekonomi.

``Tahun lalu, kira-kira RM4.8 bilion hingga RM4.9 bilion subsidi bahan api diberikan. Ini jumlah yang besar,'' kata Mustapa.

Katanya, jika subsidi terlalu tinggi atau melangkaui paras tertentu, kerajaan perlu mengkajinya semula kerana ia akan menjejaskan perolehan negara dan dana untuk pembangunan akan berkurangan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home