Wednesday, February 09, 2005

Kebakaran hutan Gunung Kenderung sukar dipadam

Excerpt

GERIK 8 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berhadapan dengan kesukaran memadam dan mengawal kebakaran hutan Gunung Kenderung di sini yang berlaku sejak enam hari lalu berikutan keadaan tebing tinggi serta curam.

Malah penggunaan helikopter bomba yang membawa bom air sejak kelmarin masih gagal mengawal kebakaran di kawasan seluas 60 hektar itu.

Ini ditambah pula dengan keadaan hutan berkenaan yang dipenuhi daun serta ranting kering dianggarkan setebal setengah meter.

Sehingga hari ini hanya 20 hektar kawasan kebakaran sahaja berjaya dipadamkan sepenuhnya dan 40 hektar lagi masih terbakar.

Kebakaran tersebut yang merebak dari puncak gunung setinggi 1,220 meter itu berlaku di kawasan ketinggian 600 meter ke atas.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meninjau kebakaran tersebut hari ini merayu syarikat-syarikat pembalakan agar membantu usaha mengawal kebakaran itu dengan menyekat api dari merebak ke kawasan lain.

Menurut beliau, syarikat pembalakan diketahui mempunyai banyak kelengkapan sama ada jentolak atau mesin gergaji untuk menebang pokok-pokok di kawasan tertentu dalam usaha menghentikan api dari merebak.

``Apa yang membimbangkan api berkenaan merebak dan semakin mendekati kawasan hutan simpan Kenderung iaitu kira-kira setengah kilometer sahaja lagi.

``Cara yang ada pada masa ini ialah menggunakan kaedah penyekat api iaitu membuat penebangan pokok dan menggali parit tetapi ia memerlukan bantuan daripada syarikat pembalakan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat 150 anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu termasuk 70 daripada pasukan bomba dan penyelamat.

Sementara itu, helikopter bomba hari ini bertindak menurunkan dari udara beg-beg air kepada pasukan yang berada di hutan berkenaan berikutan kesukaran bagi mereka mendapat bekalan air bagi operasi memadam dari bawah.

Utusan Malaysia difahamkan pasukan operasi perlu mendaki kira-kira dua jam setengah untuk tiba di kawasan kebakaran.

Gunung Kenderung terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Gerik.

Tinjauan juga mendapati kepulan asap tebal dapat dilihat dari jauh dengan beberapa kesan tompokan kebakaran.

Tajol Rosli berkata, selain kebakaran di kawasan itu, maklumat daripada satelit menunjukkan terdapat tujuh tompok kebakaran di sekitar Gerik terutama Bersia.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat pembakaran terbuka ketika cuaca panas.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home