Friday, February 25, 2005

Kebakaran hutan kian buruk -- * Lebih 8,000 hektar musnah * Bomba hadapi kesukaran padamkan api

Excerpt : utusan

Oleh: ISMAIL DAUD, MOHD. ROMZI SAMSUDIN, NIEZAM ABDULLAH, MOHD. FAIRUZ YUSUF dan RAHMAN DAUD

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Lebih 8,000 hektar hutan musnah terbakar di lima kawasan di Semenanjung ketika cuaca panas sekarang yang memaksa Pasukan Bomba dan Penyelamat berhempas-pulas mengawal dan memadamkan kebakaran tersebut.

Memburukkan lagi keadaan, apabila Jabatan Kaji Cuaca meramalkan cuaca panas itu akan berterusan sehingga penghujung bulan depan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat juga menghadapi kesukaran untuk menjalankan kerja-kerja memadam ekoran kekurangan peralatan selain kesukaran menghampiri kawasan kebakaran.

``Hanya sedikit sahaja daripada lima kawasan tersebut berjaya dipadam dan pasukan bomba menghadapi masalah air serta laluan yang tidak mengizinkan ke tempat kejadian,'' kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Norizan Sulaiman kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam satu kes di Batang Berjuntai, Selangor yang menyaksikan kebakaran hutan yang paling luas iaitu 7,805.2 hektar, pasukan bomba telah berusaha memadamkan api sejak 14 Februari lagi.

Tinjauan udara oleh Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini pula mendapati, kawasan sekitarnya diselubungi asap tebal akibat kebakaran tersebut.

Dalam kes terbaru yang dikesan semalam di Gua Musang, Kelantan pula, kebakaran yang memusnahkan 400 hektar itu lebih bahaya kerana berlaku di puncak gunung batu kapur.

Menurut jurucakap bomba di kawasan itu, jika kebakaran tersebut lambat dikawal ia boleh meruntuhkan kepingan batu kapur dan kemungkinan mengancam keselamatan orang ramai terutama pengguna jalan raya.

Seorang pakar hutan ketika dihubungi hari ini berkata, kebakaran di lima kawasan itu telah mengakibatkan kerosakan kepada sistem ekologi selain memusnahkan kayu-kayan berharga.

Dalam pada itu, Norizan berkata, kawasan yang turut diancam kebakaran hutan ekoran cuaca panas sekarang ialah di Pahang.

Ia membabitkan tiga daerah meliputi keluasan 280 hektar yang dikesan pada 14 Februari lalu selain di Pagoh, Johor dengan 24 hektar hutan turut terbakar.

``Satu lagi kawasan hutan yang terbakar ialah membabitkan kawasan seluas 14.8 hektar di Gunung Kenderong, Gerik, Perak yang dikesan terbakar semula semalam,'' katanya.

Sebelum ini kebakaran yang berlaku di gunung itu membabitkan kawasan seluas 188 hektar telah berjaya dipadam dan operasi memadam telah dihentikan minggu lalu.

Di kawasan Batang Berjuntai, Norizan berkata: ``Pasukan bomba hanya menggunakan bom air dalam operasi memadam di kawasan itu dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia yang melibatkan 106 anggota termasuk pegawai Jabatan Hutan Semenanjung.

``Empat kawasan lagi, kami terpaksa menggali parit bagi mengalirkan air dari tempat lain.''

Setakat ini, kebakaran tersebut masih terkawal, malah beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya dan kira-kira 10 anggota bomba telah mengambil langkah-langkah tertentu selain melakukan pemantauan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Di Klang, Penolong Pengarah Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norhisham Mohammad berkata, kebakaran di Batang Berjuntai sudah merebak dari 63 kilometer persegi pada Selasa kepada 81 kilometer persegi hari ini.

Katanya, api sukar di kawal sebab faktor hutan tebal dan tanah jenis gambut selain cuaca panas berangin serta kesukaran mencari sumber air.

Menurut beliau, 200 anggota dari Selangor dikerah mengawal kebakaran itu dengan dibantu 100 lagi anggota dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Kuantan, 90 anggota bomba telah dikerah untuk memadamkan kebakaran hutan gambut dan ladang kelapa sawit di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ab. Ghani Daud berkata, kebakaran ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan anggota bomba terpaksa bekerja keras bagi memadamkan api untuk mengurangkan pencemaran berlaku dengan lebih serius.

Di Kota Bharu, kebakaran puncak Bukit Gua Serai di Gua Musang sejak Isnin lalu dapat dikawal walaupun pada ketika ini asap masih lagi menyelubungi kawasan bukit berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Sharberi Zakaria berkata, anggota bomba telah diarahkan mengawal keadaan dalam tempoh 24 jam untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

``Selain itu, kerja-kerja memadam agak terganggu kerana batu serta tanah dari bukit berkenaan sering runtuh yang boleh mengancam nyawa anggota bomba,'' katanya.

Di Ipoh, kebakaran kali kedua di Gunung Kenderong sejak Isnin lalu berlaku kira-kira 500 dan 800 meter dari kawasan kebakaran lama pada ketinggian antara 429 dan 594 meter dari paras laut.

Ia membabitkan dua tompokan di sebelah utara gunung itu. Paling teruk adalah tompokan di paras 561 meter di mana seluas lima hingga 10 hektar hutan di situ sudah terbakar.

Kebakaran pertama di Gunung Kenderong bermula 2 Februari lalu merebak ke kawasan seluas 200 hektar dan padam secara semula jadi dua minggu kemudian.

Di Johor Bahru, selain kebakaran hutan di Pagoh, Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri turut menerima pelbagai mengenai kebakaran lalang dan belukar.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kebanyakan kebakaran yang berlaku disebabkan cuaca panas dan kering sekarang ini dan anggota bomba sentiasa bersiap-sedia bagi memastikan ia dapat dikawal.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home