Wednesday, February 09, 2005

Keganasan berakhir

Excerpt

  • Palestin isytihar tamatkan intifada

  • Israel ikrar henti operasi tentera

    SHARM EL-SHEIK (Mesir): Pemimpin Israel dan Palestin semalam secara rasmi mencapai persetujuan lisan untuk menamatkan keganasan dan intifada sejak empat tahun lalu serta merintis jalan bagi mencapai proses damai Asia Barat.

    Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam membuat perisytiharan menamatkan penentangan terhadap Israel, manakala Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon berikrar akan menghentikan operasi tentera terhadap seluruh rakyat Palestin.

    “Kami mencapai persetujuan dengan Sharon untuk menghentikan semua tindakan keganasan terhadap Israel dan rakyat Palestin tidak kira di mana saja mereka berada,” kata Mahmoud dalam kenyataan selepas sidang kemuncak di pusat peranginan Sharm el-Sheik, pantai Laut Merah, semalam.

    Sidang kemuncak bersejarah itu dianjurkan oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan turut dihadiri Raja Jordan, Raja Abdullah II.

    Pada 2003, Mahmoud yang lebih dikenali sebagai Abu Mazen, ketika dilantik oleh Yasser Arafat sebagai perdana menteri pertama Palestin, pernah berunding dengan Sharon mengenai proses damai Asia Barat di Aqaba, Jordan.

    Bagaimanapun, selepas rundingan itu, Arafat menyelar Mahmoud kerana terlalu banyak memberi konsesi kepada Israel.

    Sebelum sidang bermula semalam, Sharon dan Mahmoud tersenyum ketika bersalaman dalam pertemuan pertama mereka sejak kematian Yasser Arafat, November lalu.

    Perisytiharan Mahmoud itu mengukuhkan perjanjian gencatan senjatanya dengan kumpulan pejuang Palestin yang dibuat sejurus selepas beliau memenangi pilihan raya pada 9 Januari lalu.

    Dalam ucapannya semalam, Mahmoud mengumumkan menamatkan semua serangan kumpulan pejuang di kawasan yang diduduki Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta di Israel.

    Sejurus selepas Mahmoud berucap, Sharon menyampaikan ucapannya dengan ikrar Israel akan menghentikan semua aktiviti tentera ke atas penduduk Palestin di mana saja mereka berada.

    “Hari ini menjadi titik tolak untuk melancarkan proses ke arah masa depan lebih baik yang akan membawa kita ke arah pembentukan sikap saling menghormati dan mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat.

    “Kita mempunyai peluang untuk berpaling daripada laluan berdarah yang kita hadapi sejak empat tahun lalu,” katanya.

    Bagaimanapun Sharon menyifatkan peluang keamanan itu agak rapuh dan memberi amaran, masih ada kumpulan pelampau yang mahu menghancurkan proses ini.

    Sebelum ini, pembantu kanan Mahmoud, Muhammad Dahlan berkata, kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk saling mengisytiharkan gencatan senjata.

    “Gencatan senjata ini bermakna menghentikan semua tindakan terhadap Palestin dan Israel sejajar dengan pelan damai,” kata Dahlan.

    Penasihat kanan Sharon, Ranaan Gissin berkata Israel sedia untuk pergi lebih jauh dan semalam memperkenalkan pakej membina keyakinan dan insentif kepada rakyat Palestin supaya mereka boleh memulakan langkah positif dalam pelan damai.

    “Bagaimanapun, hanya satu perkara yang mesti difahami sejelas-jelasnya iaitu tiada sebarang tolak ansur dalam usaha memerangi keganasan,” kata

    Perjanjian gencatan senjata yang diumumkan bukan satu perjanjian rasmi bertulis tetapi sekadar perisytiharan lisan oleh kedua-dua pihak untuk menghentikan keganasan, kata pegawai kanan Kementerian Luar Israel, Gideon Meir.

    Seorang pegawai Mesir yang terbabit dalam rundingan itu turut mengesahkan kenyataan berkenaan.

    Isu pembebasan banduan Palestin turut dimasukkan dalam agenda tetapi sebarang rundingan terhadap perjanjian akhir akan dibuat kemudian, kata perunding Palestin, Saeb Erekat sambil menambah, sidang ini hanya sebagai satu permulaan.

    Sementara itu, jurucakap pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza, Mahmoud Zahar berkata, kumpulan pejuang itu akan menilai terlebih dulu sidang itu sebelum membuat sebarang komitmen untuk menamatkan serangan.

    “Sebelum ini kita sudah menyatakan persetujuan dengan Mahmoud iaitu jika beliau berjaya mencapai matlamat Palestin, beliau perlu kembali bertemu kumpulan pejuang untuk membincangkan isu itu dan keputusan hanya akan dibuat selepas itu,” katanya.

    Sidang kemuncak itu menjadi petunjuk ke arah perkembangan positif terhadap proses damai Asia Barat terutama selepas kejayaan pilihan raya umum bagi menggantikan Arafat bulan lalu. – Agensi

  • 0 Comments:

    Post a Comment

    << Home