Saturday, February 05, 2005

Kilang tiru logo halal

Excerpt : HM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

GOMBAK: Sebuah kilang memproses bebola ikan dan makanan ‘steamboat’ dikesan sewenang-wenang memalsukan logo halal Jakim pada sebahagian besar produk keluarannya semata-mata untuk mengaut keuntungan mudah.


Kilang milik pengusaha bukan Islam di Taman Baiduri, Batu Caves, dikesan meniru dan mencetak logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada luar bungkusan lima produk keluarannya tanpa kebenaran.

Malah lebih memeranjatkan apabila semua produk makanan berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh pekerja bukan Islam yang bertugas tanpa menggunakan sarung tangan atau pakaian khas di dalam persekitaran kilang yang kotor.

Tindakan itu didedahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hulu Selangor, Jakim dan pegawai Kementerian Kesihatan selepas membuat pemeriksaaan mengejut, pagi semalam.

Hasil pemeriksaan jam 11 pagi itu menemui beratus-ratus bungkusan bebola ikan dan kek ikan (fish cake) yang disimpan di dalam peti sejuk di kilang itu.

Siasatan lanjut mendapati, semua paket makanan siap diproses itu tertera logo halal Jakim tiruan pada label bungkusan yang menyamai hampir 100 peratus logo tulen Jakim.

Sumber Jakim berkata, penemuan ini agak membimbangkan kerana siasatan mendapati produk terbabit dipasarkan kepada pengguna di Lembah Klang selain di Perak.

Menurutnya, pemilik kilang berkenaan pernah memohon untuk mendapatkan kebenaran menggunakan logo halal Jakim tahun lalu namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Sementara itu, pemilik kilang berusia 50-an yang disoal siasat memberi alasan produk yang memilik logo halal Jakim tiruan adalah sebahagian produk tamat tempoh yang tidak lagi dijual.

Beliau bagaimanapun gagal memberi sebarang dalih selepas disoal berhubung kewujudan logo halal yang digunakan tanpa kebenaran.

“Oleh itu KPDNHEP dan Jakim mengarahkan majikan dan pekerja kilang terbabit menanggalkan serta-merta logo palsu,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home