Thursday, February 24, 2005

Lebih 100 mangsa mungkin mati kepanasan

Excerpt : Utusan


CIMAHI 23 Feb. - Pasukan penyelamat di tempat kejadian timbunan sampah runtuh di Indonesia hari ini menyatakan lebih 100 orang mangsa yang masih hilang dan dipercayai mati kepanasan seandainya mereka tidak menemui ajal akibat sesak nafas atau dihempap sampah sarap.

Ketika operasi mencari masuk ke hari ketiga, para pegawai menjelaskan haba panas yang dikeluarkan oleh sampah yang reput itu memberi peluang tipis kepada mangsa untuk hidup.

``Tidak mungkin ada lagi mangsa yang terselamat,'' kata pegawai operasi mencari dan menyelamat, Budi Hadiwiguno.

Pegawai tentera melaporkan bilangan yang dipercayai terbunuh itu berjumlah 160 orang.

``Kami bukan hanya menghadapi masalah tanah dan lumpur. Lapisan sampah di sebelah dalam sangat panas dan kebanyakan mangsa yang ditemui semalam mengalami mengelupas kulit. Mereka seolah-olah berada dalam ketuhar,'' tambah beliau.

Malapetaka itu berlaku pada subuh kelmarin ketika penduduk sedang nyenyak tidur.

Timbunan sampah dan lumpur itu menenggelami 70 buah rumah yang dibina dekat sebuah tapak pembuangan sampah di Cimahi berhampiran Bandung, kira-kira 200 kilometer ke tenggara Jakarta.

Pegawai tempatan, Purwanto berkata, 50 mayat telah dikeluarkan dan 95 orang lagi masih hilang.

Selain itu 15 orang yang mencari barang-barang buangan di tempat kejadian turut dilaporkan hilang.

Timbalan ketua pasukan petugas mencari dan menyelamat, Ahmad Saefudin berkata, gas metana yang terdapat dalam timbunan sampah semakin merumitkan usaha mencari mangsa. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home