Saturday, February 05, 2005

Lelaki Jepun sah hidap penyakit lembu gila

Excerpt : BH

TOKYO: Jepun mengesahkan kes penyakit lembu gila dijangkiti manusia pertamanya, semalam, berikutan kematian seorang lelaki yang menunjukkan simptom penyakit yang melumpuhkan fungsi otak itu, lapor media awam NHK dan agensi berita Kyodo News.

Sehubungan itu, pegawai Kementerian Kesihatan dan pakar penyakit itu dari panel kementerian mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan sama ada mangsa dijangkiti penyakit berkenaan menerusi pemakanan daging lembu tercemar.

Pakar panel, Masahito Yamada, berkata kemungkinan besar mangsa dijangkiti penyakit itu ketika tinggal selama sebulan di Britain pada 1989, negara pertama yang mencatatkan kes lembu gila pada manusia.

“Kami percaya kemungkinan besar beliau mendapat penyakit itu ketika lawatannya ke Britain.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan beliau memakan daging yang tercemar pada ketika itu,” kata Yamada kepada pemberita.

Bagaimanapun, Ketua Panel dan profesor perubatan di Universiti Tohoku, Tetsuyuki Kitamoto berkata, pihak berkuasa masih perlu mengkaji kemungkinan mangsa dijangkiti di Jepun.

“Kita tidak boleh menolak sepenuhnya kemungkinan pesakit mendapat penyakit itu ketika di Jepun,” katanya.

Penyakit Creutzfeldt-Jacob yang menjangkiti manusia itu dikenali sebagai vCJD, mempunyai masa inkubasi 10 tahun atau lebih, manakala diagnosis positifnya hanya boleh dibuat menerusi pembedahan siasat selepas pesakit meninggal dunia.

Sehingga kini, tiada ujian darah, rawatan mahupun imunisasi bagi penyakit itu.

Kementerian berkata, lelaki itu mula menunjukkan simptom vCJD pada akhir 2001 ketika beliau berusia 40-an, di mana beliau lumpuh secara berperingkat dan meninggal dunia Disember lalu.

Penyakit Creutzfeldt-Jacob itu disahkan menjangkiti seramai 167 mangsa seluruh dunia, hampir keseluruhannya di Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Ireland, Itali dan Kanada, walaupun ribuan penduduk negara berkenaan mungkin memakan daging lembu yang tercemar. – AFP/AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home