Wednesday, February 23, 2005

Mangsa tanah runtuh meningkat

Excerpt : BH

CILIMUS (Indonesia): Pasukan penyelamat menyambung semula operasi mencari mangsa yang mungkin masih hidup dalam timbunan tanah dan sampah di Cilimus, kampung berhampiran Bandung membabitkan 150 orang dikhuatiri mati dalam kejadian tanah runtuh kelmarin.

Sejak subuh semalam, sekumpulan penduduk setempat bersama-sama pasukan penyelamat mula menggali timbunan tanah dan sampah mencari mereka yang hilang walaupun pihak berkuasa berkata tidak ada harapan lagi untuk menjumpai mangsa yang masih hidup.

Selepas sejam pertama kerja mencari semalam, mayat seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditemui, kata anggota pasukan penyelamat, menjadikannya kematian ke-28 dalam tragedi berkenaan. Sehingga petang semalam, 43 disahkan mati dalam kejadian itu dan 112 dilaporkan hilang.

Seorang pegawai Palang Merah tempatan, Nanang Triatna, 27, berkata pasukan penyelamat sudah hampir putus asa untuk mencari mereka yang hidup dalam kejadian awal pagi kelmarin di Cimahi itu.

Dalam kejadian itu, kira-kira 70 rumah di sebuah kampung yang terletak berhampiran tapak pelupusan sampah ditimbun tanah dan sampah selepas hujan lebat beberapa hari.

Seorang mangsa yang selamat, Neneng berusia 22 tahun, kehilangan enam ahli keluarga dalam kejadian itu walaupun hanya sebahagian rumahnya ditimbun tanah runtuh.

Neneng berkata, beliau dan suaminya dikejutkan dari tidur oleh bunyi runtuhan dan sempat melarikan diri.

“Pada mulanya ia bunyi seperti katil lama berkerik-kerik,” katanya.

Selepas amaran awal itu rumah dan pokok ditimbun tanah dan sampah.

Komisioner Polis Susiyanti berkata, tidak banyak peluang lagi untuk menjumpai mangsa yang hidup dalam timbunan itu.

“Nampaknya semua yang ditimbun sudah mati, tetapi kita masih berusaha mencari,” katanya.

Hujan sudah reda sejak kejadian berlaku tetapi usaha menyelamat terjejas kerana pasukan petugas khuatir kerja menggali akan menyebabkan runtuhan baru berikutan keadaan tanah yang tidak stabil.

Tapak pelupusan sampah terbabit terletak di atas bukit, manakala kampung berkenaan di kaki bukit itu. Susiyanti berkata hujan lebat menyebabkan timbunan sampah bertambah berat, seterusnya menyebabkan tanah runtuh.

Ketua kampung, Saiful Bagir berkata pihak berkuasa tempatan sudah enam kali berjanji untuk memindahkan tapak pelupusan sampah itu tetapi sehingga kejadian tidak ada tindakan susulan dibuat. – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home