Wednesday, February 02, 2005

Mangsa tsunami masih menunggu rumah transit

Excerpt : Utusan


PULAU PINANG 1 Feb. - Seramai 93 mangsa bencana tsunami yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bungah sejak 26 Disember lepas, masih menunggu untuk memasuki rumah transit yang dijanjikan siap hujung Januari.

Bagaimanapun, sehingga ini semua mereka daripada 24 keluarga dari Kampung Masjid, Tanjung Bungah, masih di pusat pemindahan berkenaan tanpa sebarang khabar menggembirakan mengenai rumah transit yang dijanjikan itu.

Sebelum ini, mereka berasa lega apabila kerajaan negeri pada 13 Januari lalu menjanjikan 20 buah rumah transit itu akan siap sebelum Hari Raya Aidiladha 21 Januari lalu.

Selepas itu, kerajaan negeri menjanjikan rumah itu yang dibina berhampiran Pantai Boon Siew di Tanjung Bungah akan siap hujung Januari.

Selepas lebih sebulan berada di pusat pemindahan, kebanyakan mereka tidak sabar-sabar lagi mahu berpindah masuk ke rumah baru mereka.

Pada 26 Disember lepas, ombak besar tsunami menyebabkan 40 rumah dari kampung berkenaan rosak teruk. Kebanyakan mereka sudah meninjau perkembangan pembinaan rumah berkenaan yang terletak satu kilometer dari kampung mereka dan mendapati rumah itu telah siap dibina.

Seorang penduduk, Zuraidah Ahmad, 39, ketika ditemui meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses pemindahan mereka kerana mereka tidak selesa berada di sekolah.

``Sudah lebih sebulan kami tinggal di sini, sudah tentu kami tidak sabar untuk tinggal di rumah sendiri. Apatah lagi keluarga seperti saya yang mempunyai ramai anak. Kami perlukan tempat tinggal sendiri,'' katanya.

Beliau berkata, bagi anak yang bersekolah, mereka memerlukan tempat belajar yang selesa untuk membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

Katanya, kebanyakan mereka tidak meminta apa yang tidak sepatutnya tetapi hanya mahu tempat tinggal yang sempurna untuk keluarga masing-masing.

Che Had Abdul Rahman, 72, berkata, beliau dimaklumkan bahawa rumah-rumah transit itu hanya boleh dimasuki pada penghujung bulan ini.

Katanya, beliau memang tidak sabar untuk tinggal di rumah sendiri yang tidak sesak kerana faktor usia yang memerlukan beliau berehat tanpa gangguan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, proses pembinaan 41 unit rumah transit sedang dijalankan dan 20 buah daripadanya akan disiapkan segera bagi membolehkan keluarga yang masih berada di pusat pemindahan itu dipindahkan masuk.

Beliau berkata, projek itu adalah sebahagian daripada 100 unit rumah transit yang dirancangkan di tiga lokasi di sekitar Tanjung Bungah bagi menempatkan kesemua keluarga dari Kampung Masjid yang terjejas kerana bencana itu.

Katanya, pembinaan rumah-rumah transit itu dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, yang bersetuju untuk membiayai kos pembinaan bernilai kira-kira RM1 juta.

Beliau berkata, pembinaan rumah-rumah transit itu akan disegerakan untuk memindahkan penduduk kampung berkenaan bagi membolehkan projek pembangunan Kampung Masjid yang sedang dirancangkan dilaksanakan secepat mungkin.

Menurutnya rumah pangsa lima tingkat yang mempunyai 100 unit rumah akan didirikan termasuk projek menambak dan meninggikan tanah serta membina benteng menahan ombak di kawasan itu. Projek itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home