Saturday, February 05, 2005

MRSM singkir 541 pelajar tidak cemerlang PMR

Excerpt : BH

KUALA LUMPUR: Seramai 541 daripada 3,450 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara disingkirkan dari maktab itu kerana gagal mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zamani Md Noor, berkata MRSM Kuala Krai, Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 69 pelajar, diikuti MRSM Kuala Lipis, Pahang (55); MRSM Gerik, Perak (45) dan MRSM Batu Pahat, Johor (40).

MRSM Kota Kinabalu, Sabah (36); MRSM Transkrian, Pulau Pinang (36); MRSM Muadzam Shah, Pahang (30); MRSM Kuching, Sarawak (28); MRSM Pasir Tumboh, Kelantan (24) dan MRSM Pendang, Kedah (23).

MRSM PDRM, Kulim, Kedah (19) dan MRSM Lenggong, Perak (19); MRSM Langkawi, Kedah (18); MRSM Pontian, Johor (18); MRSM Jeli, Kelantan (17) dan MRSM Mersing, Johor pula (15).

Turut disingkir 13 pelajar MRSM Serting, Negeri Sembilan; MRSM Terendak, Melaka (13); MRSM Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan (12) dan MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor (11).

Beliau berkata, penyingkiran itu terpaksa dilakukan berikutan kegagalan pelajar terbabit mendapat keputusan 6A ke atas dalam PMR tahun lalu, termasuk subjek Matematik dan Sains.

“Pelajar yang tersingkir kini meneruskan pengajian tingkatan empat di sekolah menengah harian,” katanya kepada Berita Harian selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada empat pelajar MRSM Kuala Terengganu yang muncul johan Anugerah Pendidikan Sains Sony 2004 anjuran Sony Malaysia di sini, semalam.

Pelajar terbabit ialah Amir Hazwan Azman, Muhammad Azani Azan Azra’ai, Muhammad Rudhan Rosli dan Mohd Ariffuddin Che Mohd Ariffin.

Zamani menegaskan, MRSM sentiasa mengutamakan pencapaian pelajarnya bagi memastikan rekod kecemerlangan pendidikan di maktab itu berterusan.

“Malah, penyingkiran pelajar ini juga sebagai peringatan kepada pelajar lain agar tidak leka. Mereka sepatutnya sentiasa berusaha memantapkan diri bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mara akan membina MRSM baru di Dungun, Terengganu, bagi menggantikan MRSM-Yayasan Terengganu (MRSM-YT) Dungun yang ditutup dua tahun lalu.

Beliau berkata, pembinaan MRSM baru berharga RM35 juta itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, Mara kini menunggu kelulusan Kerajaan Terengganu bagi mendapatkan tapak di sekitar Dungun bagi pembinaan maktab itu yang dijangka bermula tahun depan.

MRSM-YT Dungun ditutup awal 2003 berikutan kerajaan Pas Terengganu menempatkan sehingga 80 peratus pelajar berasal dari negeri itu di maktab berkenaan.

Mengenai kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Empat tahun ini, Zamani berkata, pendaftarannya ditangguh dari 14 Februari ke 21 Februari ini dan pelajar terpilih dijangka menerima surat tawaran selepas Tahun Baru Cina.

Baru-baru ini, Mara menjelaskan sejumlah 6,650 tempat disediakan untuk pengambilan pelajar Tingkatan Satu dan Empat bagi sesi persekolahan tahun ini.

Daripada jumlah itu, 2,900 tempat untuk tingkatan Satu, iaitu 2,600 di MRSM di Semenanjung, manakala 300 lagi di Sabah dan Sarawak.

Bagi tingkatan Empat pula, 3,360 tempat disediakan di MRSM di Semenanjung, manakala 390 lagi di Sabah dan Sarawak.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home