Thursday, February 24, 2005

Najib dihukum gantung --Didapati bersalah membunuh penganalisis IT, Canny Ong

Excerpt : Utusan

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 23 Feb. - Pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee menjatuhkan hukuman setelah beliau berpendapat bahawa satu kes prima facie perlu dibuktikan di akhir kes pendakwaan.

Memandangkan Ahmad Najib memilih untuk berdiam diri (tidak mengemukakan pembelaan) maka adalah memadai bagi mahkamah bersandarkan kepada keterangan yang sedia ada atau membuat andaian bahawa kejadian benar-benar berlaku.

Sebelum hakim menjatuhkan hukuman, mulut Ahmad Najib kelihatan terkumat-kamit.

Hakim Ideres juga menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 10 kali ke atas Ahmad Najib yang juga didapati bersalah atas tuduhan merogol Canny, dari San Diego, Amerika Syarikat.

``Saya berpendapat bahawa perbuatan merogol telah berlaku tanpa kerelaan mendiang berdasarkan pengakuan Ahmad Najib kepada majistret bahawa sebelum bersetubuh, dia telah meletakkan sebilah pisau di tempat duduk kereta,'' kata hakim itu.

Isteri Ahmad Najib, Zaharah Suppian Suppiah yang berada di sisi suaminya yang digari sejurus prosiding selesai, dilihat membantu mengesat air mata yang bergenang di kelopak mata Ahmad Najib.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin.

Ahmad Najib, 28, didapati bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh Canny, 29, antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun 2003 di Batu 7, Jalan Klang Lama, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Plot kejadian tragis itu bermula apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di Restoran Monte di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC). Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik bersama kereta Proton Tiara bernombor pendaftaran WFN 6871.

Menurut keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan kes itu, mayat Ong kemudiannya dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.

Mayatnya dijumpai tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta BSC.

Perbicaraan itu yang menggemparkan negara dengan kisah mengenai penculikan, rogol, bunuh dan akhirnya pembuangan mayat ke dalam lubang pembetungan lalu dibakar, berlangsung selama 46 hari dengan pihak pendakwaan memanggil 44 saksi termasuk ibu bapa Ong.

Memetik penghakiman bertulis setebal 67 muka surat yang dibacakan hampir dua jam, Hakim Ideres menyatakan bahawa mahkamah telah memerintahkan Ahmad Najib untuk mengemukakan pembelaan.

Sekalipun telah diberikan kebebasan untuk membuat satu daripada tiga pilihan yang termaktub di bawah undang-undang, namun Ahmad Najib telah memilih untuk berdiam diri tanpa mengemukakan sebarang pembelaan.

Justeru, Hakim Ideres berpendapat bahawa mahkamah tiada pilihan lain selain mensabitkan Ahmad Najib sejajar dengan pilihannya.

Menurut hakim berkenaan, prinsip yang diguna pakai oleh beliau ialah seperti yang telah dinyatakan dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu rayuan yang dikemukakan oleh Balachandran a/l Selvaratnam.

Sepanjang Hakim Ideres membacakan penghakiman, Ahmad Najib kelihatan mendengar dengan teliti butirannya. Sesekali, dia dilihat menghela nafas panjang.

Suatu ketika dahulu, Ahmad Najib pernah menyuarakan hasratnya agar dia juga dapat mengikuti jejak langkah jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh Noritta Samsudin.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohamad Haniff Khatri Abdulla yang mengetuai barisan pembelaan, diminta mengemukakan rayuan.

Mohamad Haniff: ``Ahmad Najib ialah anak kedua daripada empat beradik dan bersekolah setakat tingkatan tiga.''

Bapa kepada sepasang cahaya mata yang masih kecil itu juga, kata peguam itu, adalah seorang anak dan suami yang bertanggungjawab.

``Malahan Ahmad Najib juga seorang warganegara yang baik sebelum ditangkap,'' kata Mohamad Haniff.

Beliau menambah, ketika ditangkap, anak guamnya adalah kakitangan syarikat Susur Asia Sdn. Bhd.

Peguam itu bagaimanapun memohon supaya hukuman di bawah tuduhan merogol tidak terpakai.

Salehuddin tidak bersetuju dengan pandangan peguam itu.

Sungguhpun Ahmad Najib didapati bersalah di bawah tuduhan membunuh, namun pendakwaan memohon supaya mahkamah mengambil kira fakta perlakuan rogol yang dilakukan.

``Oleh itu, saya menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman yang berpadanan dengan perbuatan tersebut,'' kata Salehuddin.

Ketika hukuman dijatuhkan, Ahmad Najib kelihatan tenang sambil memandang tepat ke arah Hakim Ideres.

Sambil berjalan dengan dikawal ketat oleh anggota polis, Ahmad Najib sempat menyapa para wartawan di luar mahkamah.

Ibu dan abang sulung Ahmad Najib yang hadir bagaimanapun dilihat tergesa-gesa keluar. Zaharah pula, bagaimanapun enggan memberi sebarang komen ketika ditanya.

Pendakwaan turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Kwan Li Sa.

Turut mewakili Ahmad Najib ialah peguam-peguam Mohd. Nadzim Ibrahim, Rosal Azimin Ahmad dan Amir Asree Mior Nordin.

Kes itu mula dibicarakan pada 15 September 2003 di Mahkamah Tinggi di sini dengan mengemukakan keterangan daripada 44 orang saksi pendakwaan. Perbicaraan berlangsung selama 52 hari.

Ahmad Najib diperintahkan membela diri pada 6 Ogos tahun lalu, namun pada 11 Oktober tahun yang sama, dia memilih untuk berdiam diri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home