Thursday, February 24, 2005

Pelbagai pihak bantah syor tubuh Suruhanjaya Antara Agama

Excerpt : Utusan


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Pelbagai pihak membantah keras cadangan Majlis Peguam menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) menjelang persidangan mengenai perkara itu esok kerana disifatkan cuba mencampuri urusan agama Islam.

Mereka berpendapat, usaha Majlis Peguam itu patut dikecam kerana cuba mencabar Islam seterusnya memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat.

Mengulas isu ini, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datin Paduka Zaitoon Othman berkata, pihaknya membantah cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan oleh Majlis Peguam.

Ini kerana, katanya, penubuhan IRC itu memperlihatkan usaha mencampuri urusan dan amalan umat Islam di kalangan mereka bukan Islam.

Sebaliknya, kata beliau, PPMM tidak membantah sebarang dialog antara agama bagi menggalakkan hubungan harmoni antara penganut agama di negara ini.

``Tetapi PPMM membantah persidangan itu dan penubuhan IRC,'' tegasnya hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Sheikh Abu Bakar Awang pula berkata, Majlis Peguam tidak perlu sibuk mencampuri urusan agama kerana ia bukan fungsi dan matlamat penubuhannya.

``Majlis itu sepatutnya memberi keutamaan kepada isu semasa seperti isu reformasi undang-undang, kes-kes tertangguh, disiplin para peguam dan hakim selain mengembalikan profesionalisme institusi perundangan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kedua-dua mereka mengulas persidangan kebangsaan penubuhan IRC anjuran Majlis Peguam esok yang antara lain membincangkan draf penubuhan suruhanjaya yang dilihat cuba mencampuri urusan agama Islam di negara ini.

Berdasarkan senarai pertubuhan yang menyokong cadangan itu, didapati usaha itu tidak melibatkan pertubuhan atau organisasi Islam utama di negara ini seperti institusi mufti, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) atau Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sheikh Abu Bakar berkata, Majlis Peguam tidak berhak untuk menasihati atau berperanan sebagai badan perunding dalam urusan agama kerana setiap agama telah mempunyai badan tersendiri menguruskan hal ehwal agama masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman ketika dihubungi Bernama berkata, beliau tidak menyokong cadangan itu kerana berpendapat penubuhan suruhanjaya berkenaan adalah tidak perlu.

``Fungsinya tidak sama seperti Suhakam. Apa yang dapat ia dilakukan hanya sekadar mempengaruhi kerajaan berhubung perkara berkaitan agama,'' katanya.

Hari ini, seorang anggota kumpulan kerja yang mendraf cadangan itu, K. Shanmuga memberitahu Bernama bahawa suruhanjaya tersebut yang akan bercirikan Suhakam, antara lain akan mempunyai kuasa untuk menyiasat, menjadi pengantara, perunding dan pendamai terhadap dakwaan perbuatan menjejaskan keharmonian agama.

Naib Presiden Kebangsaan ABIM, Yusri Mohamad pula berkata, ABIM berpendirian tegas tidak bersetuju dengan usaha itu kerana wujudnya kecenderungan untuk mencampuri isu-isu dalaman agama lain.

``Kita merasakan isu-isu sensitif seumpama ini tidak sewajarnya ditangani dan didebatkan secara terlalu terbuka tanpa menghiraukan sensitiviti penganut-penganut agama terbabit,'' tegasnya.

Katanya, ABIM telah pun menarik diri daripada menganggotai Jawatankuasa Pemandu IRC dan menafikan laporan media bahawa pertubuhan itu masih menganggotai jawatankuasa tersebut dan kononnya menyokong penubuhannya.

Yusri berkata, isu keharmonian antara agama dan isu-isu yang berkaitan perlu ditangani dari perspektif agama bukannya dengan pendekatan undang-undang dan hak asasi manusia semata-mata seperti yang dianjurkan IRC.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, beliau menarik diri daripada proses penubuhan majlis antara agama itu pada 2003 kerana Majlis Peguam mendesak untuk menjadi penerajunya.

``Sesetengah kumpulan Islam berpendapat objektif menyeluruhnya ialah untuk menangani isu-isu pecah-belah, yang patut diselesaikan di kalangan masyarakat.

``Dialog antara agama tidak harus dimulakan dengan isu-isu pecah-belah seperti murtad, tetapi sesetengah peguam yang terbabit dalam kes itu ``mencari penyelesaian mengikut undang-undang'' dan tidak mempunyai latar belakang dalam soal berkaitan antara agama,'' katanya.

Sementara itu, Shanmuga menegaskan suruhanjaya itu akan menjadi "penasihat, perunding dan pendamai" dan cadangannya tidak semestinya diikuti.

Beliau yang juga merupakan anggota Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh berkata: ``Tanggungjawabnya yang paling penting ialah untuk memupuk keharmonian, meningkatkan persefahaman mengenai agama lain dan pendidikan mengenai agama. Ia juga bermaksud menjadi tempat di mana semua agama boleh saling berbincang, menyediakan forum untuk dialog.''

Katanya, suruhanjaya itu juga akan dianggotai perwakilan dari pelbagai kementerian dan semua pertubuhan agama serta Majlis Agama Islam di setiap negeri.

``Kami menyerahkan kepada suruhanjaya untuk memutuskan apa yang terletak di bawah bidang kuasanya,'' katanya.

Persidangan itu yang akan berlangsung di Hotel Equatorial dijadual dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home