Sunday, February 27, 2005

Penat lelah Rani Mukherjee diiktiraf

Excerpt : Bh

MUMBAI: Aktres handalan Bollywood, Rani Mukherjee, tidak pernah menyangka watak sebagai gadis buta dan pekak dalam filem ‘Black’ yang mendapat pujian pengkritik akhirnya membuka jalan untuk dia diiktiraf sebagai pelakon sebenar.

“Saya gembira kerana akhirnya industri ini mengiktiraf saya. Kini media menyedari usaha keras ini dan saya diberi penghormatan dalam cara begitu yang begitu baik,” kata Rani yang dipuji melalui wataknya sebagai gadis buta dan pekak dalam filem arahan Sanjay Leela Bhansali itu.

Pelakon berdarah Bengali itu berkata, sudah terlalu lama orang yang menyayanginya kecewa apabila melihat dia sekadar menyampaikan anugerah pada majlis pengiktirafan kepada golongan seni.

“Akhirnya saya berpeluang meraih anugerah. Keluarga saya sebenarnya lebih gembira dari saya,” katanya.

Rani, yang berada di tangga ke-10 senarai selebriti paling berpengaruh dalam industri perfileman Bollywood sekali gus menyingkirkan Aishwarya Rai, juga tidak fikir keberkesanan lakonannya dalam filem ‘Black’ membuatkan aktres lain berasa terancam.

“Secara jujur, saya tidak suka bersaing. Bagi saya, keluarga adalah perkara paling penting dalam hidup selepas kerjaya. Selepas penggambaran, saya terus balik ke rumah.

“Saya tidak pernah merancang karier saya. Saya tidak pernah merancang untuk berlakon dalam ‘Black’. Saya tidak pernah muncul dalam mimpi Sanjay dan meminta dia memilih saya. Dia pasti melihat hasil kerja saya sebelum membuat keputusan,” katanya.

Kejayaan ‘Black’ juga memberikan sebab untuk Rani berasa lebih gembira berbanding sebelumnya.

“Sudah pasti saya lebih gembira kerana ramai orang yang percaya pada saya. Javed Akhtar (penulis lirik terkenal) berkata, dia berasa orang memujinya apabila mereka memuji saya.

“Saya juga berasa pengarah seperti Karan Johar, Aditya Chopra dan Sanjay memilih pelakon berdasarkan kesesuaian. Jika mereka memilih saya, mesti ada sesuatu istimewa mengenai saya. Jika pengarah lain berasa saya tidak sesuai untuk watak itu, saya terima dengan hari terbuka,” katanya. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home