Tuesday, February 01, 2005

Ribuan PATI berpusu pulang hari terakhir pengampunan

Excerpt : Utusan

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Beribu-ribu pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia membanjiri jeti pelabuhan, kedutaan besar dan pejabat konsul republik itu di seluruh negara untuk mendaftar pulang ke tanah air mereka, menjelang saat-saat akhir Program Pengampunan PATI yang berakhir tengah malam ini.

Mulai awal pagi esok pihak berkuasa akan menjalankan operasi besar-besaran membabitkan Ikatan Relawan Rakyat (Rela), polis, jabatan imigresen, jabatan pendaftaran negara dan lain-lain lagi bagi mengesan dan menahan PATI yang masih berada di negara ini.

Mereka yang hadir secara individu dan berkumpulan mula menyerbu lokasi-lokasi tersebut sejak awal pagi lagi bertujuan mendapatkan pasport serta tiket perjalanan masing-masing.

Sehingga malam tadi, lebih 300,000 PATI Indonesia telah dihantar pulang menerusi program tersebut yang bermula 29 Oktober lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi-lokasi terbabit mendapati ramai rakyat negara itu mengambil kesempatan untuk pulang pada saat-saat akhir dengan sebahagian besar mereka membawa beberapa buah beg yang sarat dengan pelbagai barang keperluan, selain pakaian.

Di sekitar bangunan Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini, kesemua kaunter yang menyediakan tiket feri dipenuhi dengan pendatang.

Sepasukan anggota polis turut kelihatan berkawal di kedutaan itu bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Di MELAKA, seramai 23,141 PATI Indonesia telah dihantar pulang melalui Pelabuhan Melaka dengan jumlah hari ini melibatkan 908 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 625 adalah pendatang lelaki dan 283 perempuan berbanding semalam seramai 705 orang iaitu 484 lelaki dan 221 wanita.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Yusof Md. Saat berkata, kesemua mereka yang diberi pas perjalanan dihantar pulang ke tiga destinasi iaitu Dumai, Pekan Baru dan Bengkalis.

``Sehingga pukul 6.30 petang ini, jumlah perjalanan feri ditambah daripada empat kepada tujuh dan dua buah jeti dibuka untuk melancarkan proses penghantaran pulang,'' katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun suasana berbeza dilihat di PELABUHAN KLANG, apabila jumlah pendatang yang pulang melalui jeti itu kurang mendapat sambutan, malah boleh disifatkan sebagai diluar jangkaan kerana jumlahnya yang terlalu sedikit.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Che Mamat Abdullah berkata, sambutan dingin itu jelas dilihat antara 1 hingga 30 Januari lalu apabila hanya 6,000 PATI pulang ke Indonesia.

``Sepanjang program pengampunan berjalan, hanya 63,000 PATI yang pulang ke negara mereka melalui pelabuhan ini sedangkan sebelum ini kita jangkakan seramai 4,000 PATI akan pulang dalam sehari,'' katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran keras terhadap pendatang terbabit kerana berdegil untuk menyahut program pengampunan.

Tegas Najib, kerajaan tidak akan berlembut lagi kerana tempoh pengampunan sudah dipinda sebanyak tiga kali.

Tempoh pengampunan yang sepatutnya tamat pada 31 Disember tahun lepas dilanjutkan sehingga akhir bulan ini sebagai tanda prihatin kerajaan Malaysia atas permintaan pemerintah Indonesia berikutan tragedi tsunami yang mengorbankan ramai rakyat negara itu.

Tarikh akhir program pengampunan asal ialah pada 14 November lalu.

Jurucakap Kedutaan Indonesia yang ditemui berkata, jumlah mereka yang pulang hari ini terlalu ramai sehingga jumlah sebenar mereka tidak dapat dipastikan lagi.

``Kedutaan telah menyediakan pasport secara percuma kepada PATI, cuma tiket perjalanan feri sahaja harus mereka beli.

``Dari sini, para pendatang akan dibawa ke dewan serbaguna Pelabuhan Klang melalui bas pekerja yang telah disediakan oleh pihak kami,'' katanya.

Di JOHOR, Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mohamed Nasir Osman berkata, sebanyak 122,882 PATI telah meninggalkan negara ini melalui enam pintu keluar di negeri ini apabila program pengampunan berakhir hari ini.

``Perkhidmatan pengangkutan itu hanya akan ditambah sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan tetapi memandangkan sambutan yang dingin, kita tidak akan melanjutkan masa pengangkutan terakhir yang berakhir pada pukul 12 tengah malam nanti,'' katanya.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata, mulai esok, sebanyak 212 pegawai Rela di seluruh negara diberi kuasa untuk melaksanakan operasi mengusir pendatang tanpa izin.

Dengan kuasa tersebut, katanya, pegawai terbabit dibenarkan mengetuai operasi itu tanpa melibatkan polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan ketika dihubungi petang ini berkata, bagi melicinkan gerakan besar-besaran itu, polis sedia membantu pihak berkuasa terlibat memberkas pendatang yang berdegil dan tidak mahu meninggalkan negara ini melalui program pengampunan.

``Kita akan bantu dan dalam masa yang sama kita akan mempertingkatkan Ops. Nyah II,'' tegasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home