Saturday, February 05, 2005

Serang Iran bukan agenda AS - Rice

Excerpt : Utusan

LONDON 4 Feb. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice hari ini berkata, bukanlah menjadi agenda utama AS untuk melancarkan serangan terhadap Iran, negara yang didakwa membangunkan program senjata nuklear.

``Kami mempunyai banyak kaedah diplomatik yang boleh digunakan dan kami merancang untuk meneruskan usaha tersebut terhadap Iran,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar Britain, Jack Straw.

Ditanya sama ada tindakan ketenteraan akan digunakan oleh AS ke atas Iran beliau berkata : ``Jawapannya adalah ringkas iaitu ia bukan agenda kami buat masa ini.''

Bagaimanapun beliau memberi amaran kepada Iran supaya tidak menggunakan pembangunan tenaga nuklear untuk melindungi program pembangunan senjata nuklear.

Rice sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Ia merupakan pertemuan pertama Rice dengan pemimpin luar sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara AS bagi menggantikan Colin Powell.

Beliau selepas ini dijangka mengadakan lawatan di beberapa buah negara Eropah dan Timur Tengah.

Dalam pada itu, Rice turut mengesahkan untuk menghadiri satu persidangan yang akan diadakan di London pada bulan depan berhubung harapan menamatkan krisis di Tebing Barat melibatkan Palestin dan Israel.

Persidangan itu dijangka berlangsung pada 1 dan 2 Mac depan di London yang di pengerusikan oleh Blair.

Menurut Straw, persidangan tersebut akan memfokuskan kepada bagaimana membantu Palestin untuk memiliki sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home