Wednesday, February 09, 2005

Serangan berani mati ragut 21 nyawa, 27 cedera

Excerpt

BAGHDAD 8 Feb. - Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 27 yang lain tercedera dalam satu serangan berani mati di luar sebuah pusat pengambilan rekrut tentera Iraq di Baghdad hari ini, kata tentera Amerika Syarikat (AS).

Serangan itu adalah yang paling dahsyat sejak berlangsungnya pilihan raya Iraq pada 30 Januari lalu.

Letupan tersebut berlaku sehari selepas 27 orang terbunuh dalam serangan-serangan berani mati di bandar Baqouba dan Mosul semalam.

Polis berkata, sasaran serangan hari ini adalah sebuah trak yang membawa rekrut tentera ke pangkalan itu di sebuah lapangan terbang yang tidak digunakan di Baghdad.

Tentera AS berkata, penyerang berani itu dipercayai berjalan kaki menuju ke pusat berkenaan sebelum meletupkan dirinya.

Kepulan asap hitam naik ke ruang udara dari pusat pengambilan rekrut tentera itu dan beberapa buah ambulan berkejar ke tempat kejadian.

Para pegawai hospital berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan tercedera itu adalah terdiri daripada lelaki-lelaki muda.

Pusat-pusat pengambilan rekrut tentera dan polis sering menjadi sasaran serangan oleh kumpulan-kumpulan gerila.

Kebanyakan daripada mereka yang terbunuh dalam letupan di Mosul dan Baqouba terdiri daripada anggota-anggota polis atau penduduk-penduduk awam yang sedang memohon untuk menyertai perkhidmatan polis.

Sebuah kumpulan sayap Al-Qaeda di Iraq, yang diketuai oleh militan Jordan, Abu Musab al-Zarqawi, mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Kumpulan yang sama juga mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Mosul dan Baqouba semalam. - Reuter

0 Comments:

Post a Comment

<< Home