Saturday, February 05, 2005

Sistem MQF diperkenal -- Membolehkan kursus universiti tempatan diiktiraf seluruh dunia

Excerpt : Utusan


Oleh: WAHID HASHIM dan HASHNAN ABDULLAH

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Kerajaan akan memperkenalkan sistem penarafan pendidikan tinggi dikenali sebagai Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) bagi membolehkan kursus-kursus di universiti-universiti awam dan swasta diiktiraf di seluruh dunia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, kerangka itu akan membenarkan pelajar mengambil subjek-subjek tertentu dari universiti yang berlainan, termasuk di luar negara tanpa sebarang masalah kerana kualiti pengajian adalah setanding.

Kerangka yang bersifat global itu akan mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Melalui penarafan atau piawaian antarabangsa ini, para penuntut kejuruteraan di Universiti Malaya (UM) misalnya, yang mahu mengambil subjek-subjek tertentu di universiti terkemuka di Jerman atau di mana-mana universiti seluruh dunia boleh berbuat demikian tanpa perlu mengambil keseluruhan program tersebut.

Subjek atau kursus itu boleh diambil secara maya atau dalam talian, atau pergi sendiri ke universiti itu.

Mekanisme persijilan pula, pelajar UM itu akan memperoleh ijazah yang dikeluarkan oleh universitinya, dan di dalam transkrip akan dinyatakan subjek-subjek yang diambil daripada universiti-universiti luar itu.

Kaedah yang sama juga boleh dipakai antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan atau antara sesama mereka.

Menurut Shafie, berikutan dengan perancangan itu, penyusunan semula kursus di universiti-universiti awam dan beberapa universiti swasta di negara ini sedang dilakukan.

``Ia bagi membolehkan MQF itu berkesan dan kursus-kursus itu diiktiraf seluruh dunia,'' katanya kepada Utusan Malaysia, semasa melakukan lawatan ke Jabatan Pengarang akhbar itu di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan Dasar Pengajian Tinggi Negara yang sedang digubal oleh kerajaan.

``Setakat ini, kami sedang menyelesaikan masalah struktur MQF itu sendiri bagi memastikan ia berjalan lancar dan ia dijangka selesai sebelum hujung tahun ini,'' katanya.

Serentak dengan penubuhan MQF, katanya, struktur Lembaga Akreditasi Negara (LAN) akan dipecahkan kepada dua, iaitu LAN yang mengawal IPTS dan LAN yang menyelaras IPTA.

``Saya menyasarkan hujung tahun ini sebagai tarikh pelaksanaan MQF kerana setakat ini semua IPTS dan IPTA telah maklum mengenai perkara ini dan rata-rata telah bersetuju untuk melaksanakannya,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi memastikan kualiti MQF diiktiraf, pihaknya akan menjemput sektor swasta untuk bersama-sama merangka dasar sistem itu terlebih dahulu.

``Tujuan itu dilakukan kerana diploma atau ijazah yang diperolehi melalui sistem MQF itu perlu diiktiraf oleh sektor swasta kerana mereka adalah pembelinya,'' katanya.

Sementara itu, di dalam lawatan itu, Shafie mendengar taklimat mengenai operasi akhbar dan majalah keluaran Kumpulan Utusan daripada Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Ketua Pengarang, Khalid Mohd.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home